Seorang wanita maut, lima lagi kritikal lepas makan sardin di restoran mewah

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang wanita dilaporkan telah meninggal dunia akibat keracunan makanan selepas menikmati masakan ikan sardin yang dihidangkan di sebuah restoran mewah.

Wanita berusia 32 tahun itu difahamkan segera ke hospital kerana merasa tidak sihat selepas pulang daripada restoran yang didatanginya bersama bapa dan suaminya.

Hospital kemudian mengesahkan wanita tersebut meninggal dunia manakala suami dan bapanya pula berada dalam keadaan kritikal dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Mengejutkan, siasatan lanjut menemui seramai 12 orang pelanggan yang menikmati hidangan sardin di restoran berkenaan direkodkan telah mengalami keracunan makanan.

Bahkan, kesemua pelanggan itu perlu dirawat di hospital dengan lima daripada mereka berada dalam keadaan kritikal dan perlu menggunakan alat bantuan penafasan, ventilator.

Memetik laporan The Guardian, mangsa maut itu dipercayai diserang Botulisme iaitu penyakit saraf serius berpunca dari makanan yang tidak diawet dengan sempurna.

Semua pelanggan yang terlibat didapati memakan ikan sardin yang diawet sendiri oleh pemilik restoran di Bordeaux, Perancis pada 4 hingga 10 September lalu.

Menurut pengusaha restoran Tchin Tchin Wine Bar itu, beberapa balang sardin telah dibuang sebelum kejadian ngeri itu berlaku kerana ia mempunyai bau yang kuat.

Manakala, beberapa balang lain yang ‘kelihatan’ tidak terjejas dan berada di dalam keadaan baik pula disimpan kemudian dihidangkan untuk dinikmati pelanggan.

Bakteria yang menjadi punca Botulisme ini boleh menyebabkan kelumpuhan otot untuk beberapa minggu selain mampu menjejaskan otot penafasan sehingga membawa maut.

Difahamkan, pihak berkuasa Perancis masih menjalankan pemeriksaan dan melakukan siasatan lanjut terhadap restoran tersebut.

Baca juga: “Kau keluar dari rumah ni malam ni, jatuh talak tiga, aku hanya tersenyum, akhirnya aku bebas, aku tak akan ulangi kesilapan sama…”