Sepasang kasut Menteri Besar boleh beri 200 keluarga isi rumah makan kenyang berkali-kali

Oleh ARIF ATAN

Baru-baru ini, tular berita harga sepasang kasut kurniaan seorang anak Raja kepada seorang Menteri Besar. Harganya dilapor hampir RM40,000.

Sehingga kini tiada pengesahan pada harga kasut tersebut tetapi berita pengurniaan kasut itu telah
disahkan oleh kedua-dua si penerima dan si pemberi.

Maka mulalah persoalan-persoalan timbul di benak orang ramai. Untuk apa kasut dihadiahkan? Mengapa diterima kasut tersebut? Siapa lagi ada menerima hadiah sebegini?

Ada lagikah hadiah-hadiah atau kurniaan-kurniaan lain? Tidak kurang juga yang mempersoal sama ada kasut ini boleh dikatakan melanggar mana-mana peruntukan undang-undang?

Tidak kurang juga menyelar tindakan orang ramai mempersoal pengurniaan kasut itu. Kata mereka tiada apa yang salahnya dengan memberi hadiah.

Lagipun yang menerima kasut itu orang besar. Maka bermulalah isu ini dipolitikkan. Disapu bawah
karpet.

Namun, pada masa rakyat mengalami tekanan ekonomi, dibeban dengan kepayahan harga barangan yang naik melambung dan inflasi tidak menentu ianya adalah amat tidak logik untuk perkara begini dipejamkan mata.

Isu paling besar yang melanda negara adalah ‘trust deficit’ antara golongan kebanyakan daripada mereka yang elit/atasan. Marhaen lawan kayangan. Yang biasa melawan yang berkuasa. Yang kerdil dengan yang gagah besar.

Lantas saya membuat beberapa perbandingan. Percaturan kira-kira kasar. Berapakah nilai RM40,000 sekarang?

Sepasang kasut kurniaan anak Raja boleh membeli:

Dengan sepasang kasut kurniaan anak Raja, lebih kurang 150 ke 200 keluarga isi rumah boleh diberi makan kenyang berkali-kali. Cuma RM32.50 lebih mahal dari harga kasut itu.

Maka, saya mula terfikir: dimanakah sifat empati orang kita sekarang?

Mengapakah kemewahan, kekayaan, harta benda, pangkat, kuasa, keduniaan ini dikejar dan nilai-nilai murni dikorbankan?

Ianya jadi lebih pedih apabila negeri dimana isu kasut ini timbul merupakan negeri yang sama yang mana terdapat 10,428 ketua isi rumah yang tergolong miskin dan 4,726 miskin tegar.

Akhirnya, isu sepasang kasut ini bukan sahaja di selatan tetapi telah juga berada di sekeliling tanahair kita.

Lihat sahaja bagaimana suri rumah (walaupun ada isu kes dadah) dipenjara 14 bulan dek dua paket milo berharga RM73 tetapi yang berkuasa telah jatuh hukum 12 tahun masih lagi diusung ke hulu ke hilir dengan eskot ‘outrider’ polis meredah trafik sibuk.

Lihat juga bagaimana pemimpin utama negara tanpa sebarang rasa segan mempertonton baju berjenama di hadapan rakyatnya yang masih kebulur ayam harga RM9.40 sekilogram.

Bagaimana pula dengan menteri-menteri yang berpendapatan puluhan ribu sebulan bermain catur politik dikala rakyat sengsara.

Maka, natijah memilih pemimpin yang tiada rasa berpijak di bumi nyata, rakyat yang
menjadi mangsa.

Pada si penerima kasut mewah, suka saya ingatkan peribahasa Melayu, dengan sedikit penambahan: “Orang berbudi kita berbahasa, Orang memberi kita terasa …”