Gelombang kedua krisis tenaga global susulan konflik Asia Barat yang berterusan boleh mengakibatkan gangguan bekalan bahan asas terutamanya berasaskan minyak dan gas.
Situasi semasa menjangkakan bulan Jun dan Julai menjadi tempoh yang kritikal apabila industri mula berdepan risiko kehabisan bahan mentah diperlukan untuk pelbagai sektor ekonomi dunia.
Isu ini menimbulkan persoalan mengenai strategi diambil oleh Kerajaan Madani yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melindungi rakyat Malaysia daripada kesan konflik tersebut.
Berikut kami senaraikan pendekatan pragmatik yang dilaksanakan kerajaan demi menjamin kestabilan bekalan tenaga, membendung tekanan kos sara hidup menerusi rangka kerja Ekonomi Madani.
Jaminan Bekalan dan Kos Sara Hidup
Langkah penjimatan melalui insiatif subsidi minyak bersasar BUDI95 sebanyak RM1.99 seliter pada kadar diselaraskan daripada 300 kepada 200 liter sebulan ini dapat mengurangkan beban rakyat dan membanteras penyeludupan.
Kerajaan juga menjamin bekalan tenaga dan barangan asas di pasaran tempatan mencukupi supaya agar kehidupan harian rakyat tidak terjejas akibat daripada ketidaktentuan ekonomi global.
Tempoh bekalan akan dipanjangkan melalui usaha pengurusan dan pengagihan sumber secara berhemat sambil mengekang kenaikan harga barang asas melalui pemantauan rapi dan tindakan yang tegas daripada pihak bertanggungjawab.
Pelaksanaan projek insfrastruktur strategik untuk kepentingan rakyat terutama penambahbaikan jalan raya, sekolah dan klinik juga akan dipercepatkan demi merancakkan pertumbuhan domestik Ekonomi Madani
Pembangunan Ekonomi Domestik dan Kerjasama Antarabangsa
Kerajaan juga akan menumpukan ekonomi serantau melalui kerjasama trilateral bersama ASEAN, negara-negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan China untuk menangani rantaian cabaran global.
Pada masa yang sama, kerajaan negeri juga digalakkan untuk melibatkan usaha pemodenan dan inovatif dengan memanfaatkan segala potensi serta kemahiran tempatan demi merancakkan ekonomi domestik.
Sokongan Kewangan kepada pihak Industri dan Teknologi
Penyaluran sokongan pembiayaan bersasar dilakukan kerajaan untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana bagi mengekalkan aliran tunai, mengurus tekanan kos serta memastikan kesinambungan operasi.
Difahamkan, langkah ini diambil berikutan PKS lebih terdedah daripada kesan konflik ini kerana ruang kewangan yang lebih terhad untuk menyerap tekanan kos yang berpanjangan.
Sokongan ini termasuklah dana SME Stabilisation Relief Facility melalui Bank Negara Malaysia berjumlah RM5 bilion bagi menyediakan pembiayaan modal kerja kepada PKS yang terkesan.
Penggunaan teknologi juga dimanfaatkan melalui inisiatif Bekerja Dari Rumah (BDR) yang akan mengurangkan pergerakan harian sekali gus memberikan impak penjimatan tenaga dan bahan api.
Kerajaan juga akan menggerakkan peralihan kepada penggunaan teknologi hijau untuk membantu mengurangkan jejak karbon dalam sektor yang menggunakan tenaga tinggi demi menjimatkan bekalan.
Baca juga: Kerajaan fokus tabir negara, utamakan tugas berbanding bubar Parlimen – PM Anwar