Negara semalam dikejutkan dengan nahas pesawat ringan yang terhempas sebelum meletup di Lebuhraya Guthrie, dekat Elmina, Shah Alam.
Mencetuskan kebakaran besar, pihak polis mengesahkan bahawa 10 individu didapati maut di dalam nahas pesawat yang mengerikan itu.
Kesemua mangsa yang terlibat dipercayai berusia antara 40-an hingga 50-an yang mana lapan daripadanya adalah penumpang dan krew pesawat.
Dua lagi mangsa nahas yang tiada di dalam pesawat adalah pemandu kereta e-hailing dan penunggang motosikal yang kebetulan lalu di lokasi kejadian.
Susulan kejadian, beberapa rakaman memaparkan mayat rentung terbakar yang dipercayai terlibat di dalam insiden tersebut turut ditularkan di media sosial.
Menyedari situasi tersebut, bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri tampil memberi teguran kepada orang ramai.
Zulkifli menegaskan bahawa perbuatan menyebarkan video atau gambar mangsa yang rentung di dalam nahas tersebut adalah haram.
Tidak hanya akan melukakan hati keluarga mangsa, tindakan itu juga dikhuatiri akan menjejaskan maruah mangsa yang terlibat di dalam tragedi tersebut.
Menyita perhatian ramai, teguran tersebut disampaikan oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu di laman Twitter.
“Haram sebarkan video atau gambar mangsa yang rentung dalam tragedi tersebut. Itu akan melukakan hati keluarganya, juga melibatkan maruahnya,” ciapnya.
Dalam pada itu, Zulkifli turut menyertakan hadis riwayat Muslim (2564) yang disabdakan Nabi Muhammad SAW yang bermaksud;
“Hak setiap Muslim ke atas muslim yang lain adalah haram (baginya mencerobohi) maruahnya, hartanya dan darahnya”.
Menerusi hantaran yang sama, Dr Zulkifli turut menyampaikan ucapan takziah dan mendoakan agar kesemua mangsa nahas dikurniakan syahid akhirat.
“Diharapkan moga-moga mereka dikurniakan syahid akhirat atas makna sahib al-hadm (orang yang ditimpa runtuhan).” Katanya.
Baca juga: Barang pertama dicari ketika pesawat terhempas, ini fungsi sebenar kotak hitam