Seorang lelaki berusia 29 tahun mendedahkan hanya membelanjakan tidak sampai RM5 sehari demi berjimat cermat dan mengumpul wang.
Dia telah melakukan perkara itu selama enam tahun dan kini mempunyai simpanan kira-kira RM772,119.
Lapor South China Morning Post, lelaki itu bekerja sebagai hos siaran langsung di sebuah syarikat internet utama di Beijing dan turut menguruskan perniagaan media kendiri. Pendapatan sebenar dia tidak didedahkan.
Baru-baru ini, dia mendedahkan bahawa perbelanjaan bulanannya untuk makanan dihadkan kurang daripada 500 yuan (kira-kira RM296) yang menyumbang kepada jumlah simpanan mengagumkan, sejak tamat pengajian universiti enam tahun lalu.
Perbelanjaan bulanannya yang paling besar adalah sewa rumah, sekitar 2,500 yuan (kira-kira RM1,484), manakala semua makanannya dimasak sendiri di rumah dengan kos hanya beberapa yuan setiap hidangan dan secara purata kurang daripada 500 yuan (kira-kira RM296) sebulan.
Amalan berjimat cermat yang melampau ini berpunca daripada pengalaman traumatik semasa zaman kanak-kanak.
Ketika berada di Tahun Lima, ibunya jatuh sakit teruk dan keluarganya terpaksa meminjam lebih 100,000 yuan (kira-kira RM59,393) untuk kos rawatan.
“Kami tidak mampu bayar bil perubatan. Sejak itu, saya rasa saya perlu menyimpan sebanyak mungkin. Dengan cara itu, apa pun yang berlaku, saya tidak perlu bergantung pada orang lain kerana ada duit sendiri dan rasa lebih selamat.
“Sebelum ibu sakit, saya tidak faham mengenai duit. Pengalaman itu buat saya sedar betapa pentingnya wang terutamanya dalam waktu sukar. Tanpanya, kita tidak mampu berbuat apa-apa,” katanya dalam satu temu bual bersama Jiupai News.
Dia mula bekerja sambilan sebaik sahaja selesai peperiksaan masuk universiti kebangsaan China dan sejak itu bekerja setiap hari tanpa benar-benar bercuti.
Dia mendedahkan bahawa kini dia memiliki simpanan sebanyak 1.3 juta yuan (kira-kira RM772,119) juta) dan bercita-cita untuk mengumpul 2 juta yuan (kira-kira RM1.18 juta) bagi membeli rumah dan kereta supaya ibu bapanya dapat hidup dengan selesa dan melancong.
Baca juga: Kanak-kanak kumpul duit RM15 nak makan durian, sekali peniaga belanja Musang King percuma!