Penyanyi, Shiha Zikir berkongsi rasa kesal apabila seorang individu bertindak meninggalkan komen biadap di dalam hantaran gambar yang memaparkan dirinya bertudung di platform Threads baru-baru ini.
Difahamkan, gambar tersebut diambil ketika Shiha atau nama sebenarnya Nurshiha Mohd. Zikir sedang mengikuti kelas mengaji dengan mengenakan pakaian jubah labuh lengkap bersama tudung berona hitam.
Meskipun usaha Shiha untuk menuju ke arah kebaikan itu disambut baik oleh orang ramai, namun seorang pemuda malah bertindak meninggalkan komen menyifatkan penyanyi berusia 37 tahun terbabit sebagai ‘bengap’.
Komen pedas sedemikian ditulis hanya kerana penyanyi terbabit memuat naik foto bertudung sedangkan gambar pemilik akaun atau ‘profile picture’ yang ditetapkan Shiha memaparkan dirinya dalam keadaan tidak menutup aurat.
“Boleh tahan bengap awak ini. Gambar profil itu tak tutup aurat tetapi foto yang awak kongsikan ini boleh pula tutup aurat (bertudung),” kata individu itu di ruangan komen gambar tersebut.
Shiha kemudian berkongsi semula komen tersebut dalam satu hantaran tangkap layar dengan memberi maklum balas bahawa teguran boleh dibuat namun haruslah dengan cara beradab.
Jelas pelantun lagu Renjana itu, teguran sepatutnya disampaikan secara beradab dengan menggunakan bahasa sopan selain meminta orang ramai saling mendoakan yang terbaik untuk satu sama lain.
“Sudah datang kumpulan macam ini di platform Threads. Boleh sahaja kalau nak tegur. Tetapi macam ini ke kaedah yang betul? Harap tak koyaklah kalau orang lain pula yang bengapkan anda.
“Shiha tak cakap yang saya tidak boleh ditegur ya. Tetapi Shiha tegur mengenai adab dalam menegur dan bahasa yang dikeluarkan. Harap maklum dan faham. Doa sahaja yang baik-baik untuk semua orang.” Ujarnya.
Baca juga: Polis terjah rumah mak saudara, Caprice tak dedah nama ‘VVIP’ tapi putar lagu Cindai