Isu perpindahan tiga ekor gajah dari Zoo Taiping & Night Safari ke Zoo Tennoji, Osaka, Jepun telah memaparkan keprihatinan rakyat terhadap perkara berkaitan kebajikan haiwan.
Namun sebalik desakan agar haiwan tersebut iaitu Dara, Amoi dan Kelat untuk segera dibawa pulang semula, segelintir pihak bagaimanapun dilihat mengaitkan isu itu dengan politik.
Seperti mana yang dapat dilihat menerusi hantaran tular dimuat naik seorang wanita memaklumkan keengganannya untuk mengundi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim jika gajah itu tidak dibawa pulang.a
Tujuan hantaran itu dibuat bagaimanapun tidak dapat dipastikan sama ada sekadar untuk berseloroh ataupun untuk mendapatkan perhatian pemimpin berhubung isu tersebut.
“Assalamualaikum Anwar Ibrahim, maaf cakap. Tetapi kalau gajah DAK (Dara, Amoi dan Kelat) tak balik dalam masa terdekat, saya tak nak undi Datuk Seri untuk Pilihan Raya Umum akan datang,” katanya.
Tinjauan di ruangan komen perkongsian itu mendapati rata-rata pengguna Threads meluahkan rasa hairan mengapakah Anwar Ibrahim pula yang dipersalahkan dalam isu tersebut.
Mereka beranggapan bahawa bukanlah satu kesalahan untuk memberikan kritikan namun haruslah dibuat dengan berlandaskan fakta sebenar dan maklumat konteks yang betul.
“Gajah ini di bawah pihak zoo, bukan semua perkara terletak di bawah bidang kuasa PMX. Tak wajar setiap isu dikaitkan terus sehingga menyimpang daripada fakta sebenar,” kata seorang pengguna
“Perjanjian dibuat pada tahun 2022 sebelum PMX angkat sumpah. Ini pun kau nak salahkan PMX? Susah betul kena cuci kesalahan semua orang. Mana kau di tahun 2022, tidur ke?.” Ujar pengguna lain.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Datuk Seri Arthur Joseph Kurup sebelum ini memaklumkan perjanjian pemindahan ketiga-tiga gajah itu dimeterai secara langsung di antara zoo di Taiping dan Jepun.
Permindahan melalui kaedah Business to Business (B2B) itu adalah bentuk kerjasama strategik antara kedua-dua zoo tersebut menerusi dua perjanjian berasingan pada tahun 2022.
Sehubungan dengan itu, kerajaan menggesa Zoo Taiping & Night Safari memulakan rundingan rasmi dengan Zoo Tennoji, Osaka bagi menilai keperluan serta mekanisme membawa pulang gajah berkenaan.
Baca juga: Ceramah PH di Negeri Sembilan dapat sambutan, Saifuddin jelas hala tuju parti