Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim, memberitahu beliau menerima ratusan panggilan dari penduduk Kuala Lumpur selepas berkongsi nombor telefon peribadinya di Parlimen, semalam.
Gara-gara itu, beliau telah meminta penduduk Kuala Lumpur yang ingin membuat aduan berhubung jalan berlubang, untuk menghantar Sistem Pesanan Ringkas (SMS) kepadanya kerana tidak sempat menjawab panggilan mereka.
“Saya terima beratus panggilan berhubung jalan berlubang dan saya tidak sempat mengangkat panggilan satu per satu.
“Saya meminta untuk mereka menghantar Sistem Pesanan Ringkas (SMS) dan saya akan mengambil tindakan serta merta,” katanya seperti dipetik Utusan Malaysia hari ini.
Semalam, Shahidan dalam sesi penggulungan Perbahasan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi Kementerian Wilayah menyebut nombor telefon peribadinya untuk penduduk Kuala Lumpur supaya dapat memberi amaran kepadanya mengenai jalan berlubang.
Beliau turut berkongsi nombor telefonnya timbalannya Jalaluddin Alias, dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Mahadi Che Ngah.
Nombor telefon adalah seperti berikut: Shahidan: 0194545111; Jalaluddin: 0196524444; Mahadi: 0162068883