Sorok 156kg gula, peniaga kedai runcit ini mungkin berdepan denda RM1 juta

Oleh KIM SYAZIE

Tindakan seorang peniaga kedai runcit menyembunyikan 156 kilogram (kg) gula membawa padah apabila premisnya diserbu oleh penguat kuasa.

Bertapak di Taiping, Perak, peniaga tidak bertanggungjawab itu turut mengenakan syarat kepada pelanggan yang mahu membeli gula.

Hasil aduan orang awam, premis itu diserbu oleh petugas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN).

Pengarah KPDN cawangan Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata serbuan itu dijalankan setelah satu tindakan penyamaran dibuat.

Menyamar sebagai pelanggan, pegawai penguatkuasa itu mulanya hanya membeli beras sebelum meminta gula kepada pekerja kedai.

Pekerja premis yang terletak di Taman Kaya itu kemudian memaklumkan bahawa bekalan gula di kedai itu telah habis.

“Sebaik mendapat maklumat berkenaan, sepasukan anggota penguat kuasa beruniform telah memasuki premis dan membuat pemeriksaan.

“Hasilnya sebanyak 156kg gula pasir putih bertapis kasar yang tidak diistiharkan telah dijumpai di premis tersebut,” katanya.

Dianggarkan bernilai RM446, semua barang kawalan iaitu gula yang dijumpai itu telah disita untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan peniaga boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Sekiranya tidak mahu dikenakan tindakan, para peniaga diingatkan untuk tidak mengenakan syarat pembelian dan menyorok barang kawalan.

Baca juga: Suami buntu, isteri mengandung mengidam nak minum arak – “Macam mana rasa dia..”