Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia memaklumkan telah menerima Proklamasi Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Yang Ke-14.
Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak dalam kenyataannya berkata, SPR akan mengadakan Mesyuarat Khas bagi membincangkan tentang pelaksanaan pilihan raya tersebut dalam satu mesyuarat yang akan diberitahu kelak.
“Berdasarkan Fasal (4) Perkara 19 Perlembagaan Negeri Melaka berkehendakkan suatu pilihan raya umum hendaklah diadakan dalam tempoh enam puluh hari dari tarikh pembubaran DUN itu.
“Justeru, tarikh mesyuarat akan dimaklumkan kemudian oleh pihak SPR,” katanya.
Hari ini, Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Mohd Rustam memberi persetujuan untuk membubarkan DUN selepas empat Adun negeri itu menarik sokongan dari bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.
Perkara itu diumumkan Speaker Dun Datuk Seri Abdul Rauf Yusoh petang tadi sekaligus memberi laluan kepada pilihan raya negeri mengejut.