Dua anak Tun Dr Mahathir Mohamad sudah pun mengisytiharkan harta kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
SPRM dalam sidang medianya mendedahkan, harta yang dimiliki kedua-dua mereka melebihi RM1.2 bilion.
Dua anak Tun M iaitu Mirzan dan Tan Sri Mokhzani mengambil masa sekitar sembilan bulan untuk melengkapkan proses pengisytiharan aset yang dimiliki mereka dalam tempoh 43 tahun ketika tempoh pemerintahan bapa mereka.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata, Mokhzani memiliki aset keseluruhan berjumlah RM1 bilion, manakala Mirzan pula RM246.2 juta.
“Saya berpuas hati dengan keputusan itu, berhubung Tan Sri Mokhzani yang jumlah aset keseluruhan RM1 bilion, aset peribadi RM360 juta.
“Selain itu ada beberapa aset, pegangan saham dan liabiliti yang mereka tanggung.
“Begitu juga dengan Mirzan yang keseluruhannya RM246.2 juta (di mana) nilai peribadi RM120 juta ditolak daripada aset keseluruhan berkaitan saham, aset lain dan liabiliti mereka,” katanya.
Azam berkata, ketika ini, siasatan terhadap kedua-dua anak bekas Perdana Menteri itu juga masih diteruskan.
Baca juga: Ribuan warga Singapura bakal ‘banjiri’ Malaysia, ini sebabnya