Sudah 3 PRN, nak ambil pengajaran atau tidak?

Oleh BORHAN AHMAD

Aku terbaca suatu tulisan malah banyak tulisan yang mengeji Umno kerana membubarkan DUN Johor. Ini ulasan dan pandangan peribadi aku. Tak suka? Ikut suka aku la.

Pertama: Semua sedar bahawa Kerajaan Johor yang dipimpin Umno bersama Bersatu (BN + PN) hanya mempunyai majoriti 1 kerusi.

Dengan kedudukan 28-27, Kerajaan Johor bukan suatu kerajaan yang stabil. Bagaimana boleh stabil jika BN dan PN walau pun bersama sebagai kerajaan, kedua-duanya juga saling bermusuhan tikam menikam.

Justeru bubar adalah wajar untuk memberikan mandat kepada pengundi memilih semula siapa yang dirasakan layak menerajui Kerajaan. Bukankah itu untuk rakyat?

Kedua: Alasan sekarang dalam pandemik.

Sudah 3 pilihan raya negeri berlaku dalam tempoh pandemik covid ini. Sabah, Melaka dan terbaru Sarawak. Dalam ketiga-tiga pilihan raya negeri ini, hanya Sabah yang meningkatkan jumlah jangkitan covid. Itu pun kerana di waktu itu, vaksinasi baru bermula.

Pilihan raya Melaka dan Sarawak, biasa sahaja. Tidak kedengaran rakyat mengeluh, aaahhh pilihan raya pula. Menyusahkan. Pengundi tetap keluar mengundi walau pun peratusannya rendah.

Pengundi tetap akur dan tunaikan kewajipan mengundi kerana mereka mahu memilih sebuah Kerajaan baru bagi menjaga kebajikan mereka. Siapa mereka pilih adalah hak mereka. Adakah itu bukan untuk rakyat?

Ketiga: Pilihan raya ini hanya kepentingan Umno. Umno adalah parti politik sama seperti parti-parti lain. Semua parti politik memasuki pilihan raya untuk membentuk kerajaan bagi mentadbir untuk rakyat.

Jika Umno juga yang pengundi pilih walau pun kita tahu Umno itu jahat, itulah pilihan pengundi. Kenapa yang jahat itu yang dipilih bukan kita yang baik, muhasabah diri, cermin diri dan tanya kenapa kita tidak dipilih sedangkan kita lebih baik dari Umno.
Apabila rakyat memilih, adakah bukan untuk rakyat hanya kerana yang dipilih bukan kita?

Keempat: Rakyat tengah susah, kenapa perlu susahkan lagi dengan pilihan raya? Rakyat susah bukan hanya kerana pilihan raya. Rakyat susah kerana pandemik dan pengurusan kerajaan sedia ada yang gila.

Jika kerajaan gila dan gagal itu membubarkan diri sendiri dan berikan rakyat memilih kerajaan baru, biar rakyat tentukan siapa yang mereka mahu untuk senangkan mereka.

Jika Dun tidak bubar, pilihan raya tidak berlaku, adakah rakyat tidak susah dan lebih senang? Adakah kesenangan rakyat itu bukan untuk rakyat?

Banyak lagi nak tulis tapi nanti panjang tak ada orang baca.

Kesimpulannya, jika kita takut pilihan raya akan menyebabkan Umno yang jahat itu akan berjaya, adalah tanggung jawab kita terangkan, jelaskan, huraikan kepada rakyat, pilihan terbaik adalah kita bukan Umno. Dalam masa yang sama, kita mesti dilihat lebih baik dari Umno.

Umno yang jahat itu bersatu, bersama jadi rakyat percaya jika Umno yang dipilih, kerajaan akan stabil, semuanya akan jadi baik walau pun sepuluh yang dibuat hanya satu untuk rakyat, sembilan untuk Umno. Satu pun dapat juga.

Tetapi kita yang baik, dilihat bergaduh, berseteru, tidak bersama. Maka rakyat merasa, baik pun tak boleh bersama, bukan kata sepuluh buat nak dapat satu, silap-silap sepuluh yang kononnya baik itu, satu pun tak mampu dibuat.

Apa cerita? Petunjuk tiga pilihan raya sudah ada. Nak ambil pengajaran atau ego tidak peduli.