Suria dari Andalusia

Oleh KIM SYAZIE

Setelah enam bulan tinggal di UK, rakan-rakan aku mengajak pergi melancong ke Sepanyol dengan syarikat kapal terbang tiket murah, Ryan Air.

Tanpa banyak soal, aku bersetuju untuk kami sekeluarga pergi. Tambahan pula, pada masa itu aku sudah mempunyai pekerjaan yang memberi kelegaan dari segi kewangan. Destinasi kami ialah wilayah Andalusia.

Wilayah Andalusia terdiri daripada beberapa daerah seperti Cordoba, Seville, Almeria, Granada, Malaga dan beberapa daerah lain lagi.

Semua bandar-bandar ini terletak di wilayah Andalusia yang pernah suatu ketika berada di bawah pemerintahan kerajaan Dinasti Ummayah.

Untuk memahami istilah melancong, melawat, mengembara, menjelajah dan seumpamanya, perlu kembali akar bahasa itu sendiri. Walaupun kerja buatnya sama tetapi niat yang berlainan akan memberi natijah berbeza.

Oleh sebab itu, nabi telah dididik umatnya memulakan sesuatu pekerjaan dengan niat. Niat itulah yang akan memimpin segala tindakan agar mengikuti syariat agama.

Melancong membawa makna ‘berjalan-jalan atau melawat sambil bersenang-lenang’. Ini sama dengan maknanya dengan melawat.

Manakala mengembara pula membawa maksud, berpergian tetapi tiada destinasi tertentu. Ia mungkin sama makna dengan istilah ‘meredah’. Istilah menjelajah pula bermakna berjalan merata tempat untuk menyelidik dan memerhati sepanjang perjalanan tersebut.

Karya Ibnu Batutah yang diterjemahkan dan diterbitkan oleh IKIM memberi tajuk bukunya sebagai ‘Pengembaraan Ibn Batutah’.  Asal buku itu bertajuk ‘Rihlah Ibn Battutah’ atau dalam edisi bahasa Inggeris, ‘The Travels of Ibn Batuta’.

Kembara aku ini jauh untuk disamakan dengan yang dilakukan oleh Ibnu Batutah. Pengembaraan Ibnu Batutah mempunyai kelebihan tersendiri.

Namun, catatan Ibnu Batutah itu banyak mempengaruhi ramai pengembara seperti aku sendiri. Catatan Ibnu Batutah dan Marco Polo memberi peluang dunia memahami perbezaan budaya.

Dr Raja Ahmad Iskandar dari Manchester dan Dr. Zuhdi Marzuki, Dr. Latifah Abdul Majid, Dr. Tarmizi dan Razak dari Lampeter turut pergi bersama.

Namun kami berbeza tarikh penerbangan pergi dan kami berjanji untuk pergi ke AlHambra pada tarikh yang sama. Hanya di Cordoba dan Granada sahaja kami pergi bersama.

Manakala ke destinasi lain, kami pergi berasingan bersama keluarga masing-masing. Masing-masing mempunyai destinasi berlainan. Masing-masing memiliki tujuan yang berbeza.

Aku bersama isteri dan anak-anak aku, Nur Najihah dan Nur Nabilah dalam seminggu itu pergi ke Seville, Cordoba, Granada, Almeria, Malaga, Gibraltar di Sepanyol, Faro di Portugal dan akhir sekali ke Seville sebelum kami kembali ke London.

Hampir setiap bandar, kami menginap semalam sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi yang kami rancang. Perjalanan sejauh lebih kurang 1500 km dalam tempoh seminggu adalah suatu perjalanan yang mengasyikkan dan bermakna.

Menjejak kaki ke tanah yang pernah kalimah tauhid ditegakkan seperti kembali ke tanah air sendiri yang telah hilang.

Sejarah Andalusia walaupun aku tidak begitu mendalam memahami tetapi secara umumnya sejarahnya pernah kami pelajari sewaktu di sekolah dan universiti. Nama Abdul Rahman al Dakhili, Tariq ibn Ziad, Isabella dan Ferdinand antara nama-nama yang masih diingati.

Tentu sekali perkara utama yang hendak kami pergi adalah Masjid Cordoba yang kini menjadi muzium. Ia terletak 140 km dari lapangan terbang Seville atau kira-kira dua jam perjalanan berkereta. Kami menyewa kereta melalui internet dan berurusan di pejabat syarikat itu di lapangan terbang.

Pada masa itu, aplikasi google map belum digunakan seperti pada hari ini dan kami banyak bergantung kepada gadget Garmin dan peta. Itupun pinjam dengan kawan.

Berkali-kali kami tersesat dan bertanya dengan orang tempatan. Bagi aku sesat di perjalanan adalah sebahagian daripada pengembaraan juga.

Orang-orang Andalusia sekali pandang seperti orang-orang Arab. Mungkin mereka adalah orang Arab yang berkahwin dengan orang Sepanyol dan membentuk bangsa baru. Atau mungkin sememangnya orang Arab yang mewarisi agama Kristian daripada nenek moyang mereka.

Apabila Andalusia jatuh ke tangan kerajaan Isabella dan Ferdinand, orang Islam telah dipaksa memeluk agama Kristian. Sebahagian terpaksa mengikuti dan sebahagiannya lari dan tidak kurang juga dibunuh.

Aku diberitahu, penempatan terakhir muslim di Andalusia selepas dihambat keluar oleh Isabella dan Ferdanand ialah di Almeria.

Kami pun pergi ke Almeria selepas melawat al Hambra dan bermalam di Granada.

Dari Almeria kami ke Malaga, kota pelukis terkenal dunia, Pablo Picasso. Almeria dan Malaga adalah bandar pelabuhan. Sepanjang perjalanan dari Almeria ke Malaga, kami menyusuri jalan raya di pinggir tanah tinggi pantai Laut Alboran yang membiru.

Jalannya berliku-likuan dan berbukit sepanjang 200 kilometer memakan masa lebih kurang dua jam memang mencabar. Terasa seperti pemandu grand prix.

Wilayah Andalusia bersempadan dengan Portugal dan Gibraltar. Jadi kami ambil kesempatan untuk pergi kedua-dua buah negara yang berjiran dan memiliki budaya yang hampir sama. Mereka hanya dipisahkan oleh garis politik.

Untuk menyeberang sempadan, kami hanya melewati papan tanda sahaja dan tiada kawalan sempadan. Gibraltar asalnya adalah wilayah Sepanyol tetapi kini berada di bawah pemerintahan Britain selepas Perjanjian Utrecht pada 1713.

Di Portugal, kami pergi ke Faro iaitu sebuah bandar terhampir dengan sempadan Andalusia. Melalui papan tanda banyak kami temui istilah-istilah yang digunakan dalam bahasa Melayu seperti gereja. Setiap kampong yang kami lewati dan terdapat gereja, pasti ada perkataan bahasa Melayu itu.

Sememangnya istilah-istilah dalam bahasa Portugal yang dijadikan sebagai istilah bahasa Melayu seperti kemeja, almari, meja, mentega, kereta, pesta, soldadu, jendela, boneka dan sebagainya.

Berada di Gibraltar dan di Andalusia terasa seperti berada di wilayah Selatan Thailand, Pattani. Memiliki sejarah dan budaya yang sama dengan Malaysia tetapi berpisah kerana sejarah pergolakan politik yang panjang.

Andalusia menjadi jambatan antara tamadun Islam dengan barat. Di sinilah bermulanya titik mula zaman pencerahan (renaissance) sehingga membawa barat sebagai sebuah kuasa baru di dunia.

Berada di sini seolah-olah memberitahu kami bahawa ada suria sedang memancar dari bumi Andalusia. Ini baru mukadimah penceritaan aku.


MUHAIMIN SULAM ialah penyelidik, penyair dan pengarang buku ‘Menang Dan Terbuang – Demokrasi, Deep State dan Darurat’ yang sedang berada dalam pasaran bit.ly/bukumuhaimin. Penulis juga juga penasihat Sekretariat Pemuliharaan Khazanah Teluk Intan