Syiar Islam diperkasa, kerajaan peruntukan RM2.6 bilion dalam Belanjawan 2026

Oleh MALAYSIADATELINE

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan komitmen Kerajaan Perpaduan untuk terus memartabatkan syiar Islam secara syumul menerusi peruntukan besar sebanyak RM2.6 bilion dalam Belanjawan 2026.

Dalam pembentangan Belanjawan di Dewan Rakyat semalam, beliau berkata pelbagai inisiatif telah dirangka untuk memperkukuh institusi pendidikan Islam, memartabatkan masjid sebagai pusat komuniti, serta menyemarakkan kefahaman Islam dalam kalangan rakyat Malaysia.

Beliau memaklumkan bahawa negara kini mempunyai lebih 300 sekolah pondok berdaftar, dan hampir 160 yang belum berdaftar.

Seiring dengan pemeliharaan kurikulum tradisional, kerajaan turut bersedia menambah elemen ilmu moden seperti digital, kecerdasan buatan (AI) dan TVET ke dalam sistem pendidikan pondok dan tahfiz.

Bagi menyokong perkembangan ini, kerajaan memperuntukkan RM150 juta untuk menaik taraf prasarana sekolah agama rakyat dan sekolah tahfiz, termasuk penggantian peralatan pengajian yang usang di institusi pondok berdaftar.

Sebanyak 720 pelajar tahfiz juga bakal menerima latihan kemahiran profesional melalui GiatMARA, sekali gus memberi peluang lebih luas untuk masa depan mereka selepas tamat pengajian.

Anwar turut mengumumkan bahawa institusi masjid akan terus diimarahkan sebagai pusat komuniti umat Islam.

Antara inisiatif baharu termasuklah penganjuran Konvensyen Masjid yang menghimpunkan imam, ulama, umara, sarjana Islam serta teknokrat, dan pengiktirafan Anugerah Masjid Malaysia kepada masjid yang menunjukkan kecemerlangan dalam pelbagai aspek.

Majlis ilmu dan dakwah diperluas

Dalam usaha memperluas kefahaman Islam dalam kalangan rakyat, kerajaan akan memperbanyak majlis-majlis ilmu.

Salah satu program utama ialah Majlis Sama’ Hadis 2026, yang memberi ruang kepada umat Islam menghayati hadis-hadis Rasulullah SAW yang dibacakan dengan tartil oleh para ulama terkemuka.

Mushaf MADANI diperkenal

Malaysia turut mencatat pencapaian membanggakan melalui kerjasama Yayasan Restu dan JAKIM dalam mencetak 1 juta naskhah al-Quran dalam 30 bahasa utama dunia, yang mendapat sambutan positif masyarakat antarabangsa.

Sebagai langkah lanjutan, kerajaan memperkenalkan Mushaf MADANI sebagai sebahagian program tadabbur al-Quran nasional, dan akan memulakan kerja-kerja pembinaan Kompleks Madinatul Quran di Putrajaya tidak lama lagi.

Dalam membantu umat Islam menunaikan ibadah Haji, kerajaan meningkatkan had pengeluaran KWSP untuk tujuan Haji daripada RM3,000 kepada RM10,000.

Bagi penjawat awam, kemudahan pengeluaran awal Gantian Cuti Rehat (GCR) turut diperluas bagi tujuan yang sama, dengan had penebusan RM10,000 dan peruntukan sebanyak RM10 juta disediakan.

Anwar menegaskan bahawa pendekatan kerajaan dalam memperkukuh syiar Islam adalah berasaskan prinsip inklusif dan progresif, selaras dengan nilai-nilai Malaysia MADANI yang memberi penekanan kepada ilmu, kemajuan dan keadilan.

“Kita bukan sahaja mahu mempertahankan warisan Islam, tetapi juga melengkapkannya dengan kemahiran dan ilmu yang relevan untuk generasi masa depan,” katanya dalam pembentangan belanjawan tersebut.

Baca juga: Ramai tak perasan ‘point’ penting ucapan PM semalam tentang tiap bulan dapat ‘duit poket’