Tak perlu label negatif, rampasan dadah bukti PDRM tegas di Kelantan – Timbalan MB Kelantan

Oleh MALAYSIADATELINE

Semakin kerap rampasan dadah berskala besar direkodkan di Kelantan, mencerminkan usaha penguatkuasaan yang giat dijalankan.

Nilai rampasan pula bukan kecil malah mencecah jutaan ringgit, membuktikan negeri ini bukan sekadar sasaran, tetapi juga medan tindakan tegas pihak berkuasa.

Menerusi satu hantaran di Facebook, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan, merakamkan penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Penghargaan tersebut adalah atas kejayaan rampasan dadah berskala besar yang berlaku baru-baru ini oleh PDRM di Kelantan.

Dalam masa sama, beliau menegaskan tidak perlu persepsi negatif terhadap negeri tersebut dan fokus kepada tindakan tegas serta hasil yang nyata.

“Kerajaan Negeri Kelantan memandang serius isu penyalahgunaan dadah yang mampu menghancurkan masa depan generasi.

“Kita menegaskan bahawa penguatkuasaan mesti diperkasakan secara konsisten oleh semua agensi berkaitan agar masalah ini dapat ditangani secara lebih menyeluruh.

“Tangkapan besar-besaran oleh pihak polis di seluruh Kelantan kebelakangan ini dengan rampasan dadah bernilai jutaan ringgit adalah bukti jelas bahawa penguatkuasaan di lapangan sedang berjalan dengan berkesan.

“Tahniah kepada PDRM atas kejayaan besar ini. Tidak perlu lagi ada persepsi negatif terhadap Kelantan kerana apa yang lebih penting ialah tindakan tegas dan hasil yang nyata,” kongsinya di Facebook.

Tegasnya sempadan antara negara Malaysia dan Thailand menyukarkan lagi usaha untuk menghentikan aktiviti penyeludupan

“Kita juga sedar bahawa sebagai negeri yang berkongsi sempadan darat dengan negara jiran, kita berdepan cabaran unik dengan aktiviti penyeludupan yang semakin licik.

“Sempadan yang panjang, laluan tikus yang banyak serta sindiket antarabangsa memerlukan pendekatan lebih menyeluruh dan kerjasama pelbagai agensi di semua peringkat,” kongsinya.

Disebabkan itu, usaha sama dengan pelbagai agensi lain dibuat untuk memperkukuh usaha pencegahan dan pendidikan sehingga ke peringkat akar umbi termasuk di sekolah dan masyarakat.

“Pada masa yang sama, kita tidak hanya berpeluk tubuh. Kita turut mengambil inisiatif melalui Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Kelantan.

“Selaras dengan dasar Membangun Bersama Islam, Kerajaan Negeri Kelantan akan terus konsisten, tegas dan berprinsip dalam mendukung segala usaha membanteras dadah.

“Kita yakin dengan kerjasama erat semua pihak, termasuk agensi penguatkuasaan di peringkat Persekutuan, Kelantan mampu menjadi model negeri bebas najis dadah meskipun berdepan cabaran sebagai pintu masuk utama di sempadan negara,” jelasnya.

Baca juga: Ekonomi Malaysia kekal kukuh, ini 5 kejayaan kerajaan Madani hingga berjaya catat sejarah!