Servis kereta selalunya mengambil masa yang agak lama bergantung pada jenis pemeriksaan dan baik pulih yang dilakukan.
Bagi servis asas seperti tukar minyak enjin, penapis minyak atau pemeriksaan bateri, ia mungkin hanya memakan masa antara 30 minit hingga satu jam.
Namun, jika melibatkan servis besar, waktu yang diambil boleh berlarutan hingga beberapa jam dan masa pula dihabiskan di ruang menunggu.
Seorang personaliti media sosial, Agy mengakui terkejut apabila dihidangkan bihun goreng bersama air sirap di satu bengkel terletak di Taman Sri Gombak, Batu Caves, Selangor.
Bukan hanya itu, isteri kepada pemilik bengkel itu juga memaklumkan mereka boleh menambah makanan sekiranya perlu dalam perkongsian di TikTok.
“Ni servis kereta ke servis perut ni! Terbaik tau servis mereka dekat sini @aminspeedworkshop. Jom support orang kita,” kongsinya di ruangan kapsyen.
Rata-rata netizen memuji tindakan bengkel tersebut malah ada yang kecewa kerana tidak dihidangkan air apabila menghantar kereta ke pusat servis.
“Ya, memang abang dan isteri dia sangat baik. Saya dulu selalu servis di bengkel mereka… Abang Min seorang mualaf, servis memang sangat jujur di Prima Sri Gombak.
Ok, lepas ni tak nak dah pergi servis dekat pusat servis. Semalam servis kena RM800++ dapat air mineral je, tunggu pula sampai 8 jam
“Tengok kat Google Review dia, ada yang dapat pulut durian dengan ais coklat, siap ada whipped cream dengan topping coklat chips lagi. Memang another level, kak,” antara komen netizen.
Baca juga: Hasil buat ‘affiliate’ bertahun-tahun, wanita mampu menabung RM6k