Taktik licik terbongkar, pembeli ‘return’ barang lain untuk dapat ‘refund’

Oleh MALAYSIADATELINE

Semakin banyak kes dilaporkan membabitkan pembeli yang didakwa menyalahgunakan sistem pemulangan (return), apabila memulangkan semula barangan yang berbeza selepas membuat permintaan refund.

Situasi ini dipercayai berlaku sama ada bagi pesanan secara tunai semasa penghantaran (COD) mahupun bayaran penuh secara dalam talian, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penjual dan syarikat kurier terhadap potensi penipuan yang semakin berleluasa.

Seorang pekerja kurier dikenali sebagai Alie tampil berkongsi pengalaman mencurigakan melibatkan seorang pelanggan yang dipercayai menyalahgunakan sistem pemulangan barang (return).

Menerusi perkongsiannya di TikTok, Aliegamingx menjelaskan bahawa dia tidak berniat untuk menyalahkan mana-mana pihak kerana isu melibatkan penghantaran sering berlaku disebabkan pelbagai faktor.

“Aku malas nak burukkan sesiapa, ini sekadar peringatan kepada mana-mana kurier dan penjual.

“Ada isu salah kurier, ada juga salah pelanggan, bagi aku benda ini 50-50, tak sokong mana-mana pihak,” katanya di TikTok.

Namun, situasi tersebut mula menimbulkan tanda tanya apabila dia mendapati sebuah alamat kerap membuat permintaan pemulangan barang, walaupun individu tersebut hanyalah pembeli.

Menurutnya, pada hari kejadian, dia mengambil alih tugasan rakan sekerja yang bercuti untuk membuat kutipan reverse parcel di kawasan berkenaan.

“Hari ini kurier yang biasa cover kawasan ini cuti, jadi aku yang datang pickup (ambil) barang pelanggan ini.

Sebenarnya aku dah lama pelik kenapa selalu sangat partner aku dapat pickup barang return dekat rumah ini,” jelasnya.

“Boleh dikatakan hari-hari memang ada pickup barang return dekat rumah ini, dan item pula kecil-kecil.

“Bila aku tengok pada description dalam aplikasi, aku rasa macam ada yang tak kena,” katanya lagi.

Lebih mencurigakan, semakan lanjut mendapati nama pelanggan sering bertukar-tukar, namun alamat yang digunakan tetap sama.

“Nama dia sentiasa bertukar-tukar, tapi alamat sama. Dari situ aku dah rasa memang pelik

“Jenis order barang… bila dah dapat, dia minta refund dan pulangkan barang lain. Barang asal dia ambil,” dakwanya.

Dalam masa sam Alie berharap agar pihak syarikat kurier dapat mengambil tindakan terhadap individu yang didakwa melakukan penipuan tersebut.

“Entah bila lah pihak courier nak banned ‘musibat’ macam ini,” katanya.

Baca juga: Lelaki ini pakai baju raya yang sama 10 tahun berturut-turut