“Teacher pakai tau… saya nak bau mak saya hari-hari” – Cikgu kongsi hadiah paling menyentuh hati

Oleh MAISARAH AISYA

Seorang guru wanita menyentuh hati ramai netizen selepas berkongsi hadiah paling sentimental pernah diterimanya daripada seorang murid sempena sambutan Hari Guru.

Menerusi satu hantaran di Threads, pengguna dikenali sebagai @nnabilahazhar membalas pertanyaan mengenai hadiah daripada pelajar yang paling memberi kesan sepanjang bergelar pendidik.

Menurutnya, dia pernah menerima sebotol minyak wangi yang hampir habis daripada seorang murid.

Namun apa yang membuatkan hadiah itu begitu bermakna adalah kisah di sebalik pemberian tersebut apabila murid berkenaan memaklumkan minyak wangi itu milik arwah ibunya.

“Ini mak saya punya. Tapi dah meninggal. Teacher pakai tau… saya nak bau mak saya hari-hari,” tulisnya mengimbau kata-kata murid tersebut.

Perkongsian itu segera meraih perhatian ramai sehingga mendapat ribuan tanda suka dan komen daripada netizen yang mengakui tersentuh dengan keikhlasan murid terbabit.

Ada juga pengguna media sosial menyifatkan kisah tersebut sangat menyedihkan dan menyentuh perasaan.

Malah ada yang mencadangkan supaya guru berkenaan mencari minyak wangi sama untuk diberikan semula kepada murid itu sebagai kenangan.

Dalam masa sama, wanita itu memaklumkan kisah tersebut benar-benar berlaku ketika dia mengajar murid darjah dua sekitar dua tahun lalu.

“Tetapi kisah ini benar-benar berlaku dengan pelajar saya dulu, sekitar dua tahun lalu. Murid saya darjah dua masa tu, sampai sekarang teringat,” kongsinya.

Baca juga: Penjual kereta naik pening, pelanggan gaji RM3k nak beli Mercedes RM300k