Tindakan kurang ajar Kumpulan The 1975 yang memperlekeh undang-undang Malaysia akhirnya makan diri sendiri selepas kerajaan secara rasmi mengeluarkan arahan mengharamkan kumpulan itu dari membuat persembahan di negara ini.
Bak kata peribahasa Melayu, masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak. Begitulah sepatutnya dilakukan semua bintang artis apabila membuat persembahan di negara orang supaya tidak terjadi kes biadab seperti The 1975.
Selain meneguk arak di hadapan peminat, ini antara kata-kata biadab dan aksi kurang ajar vokalis kumpulan tersebut iaitu Matty Healy yang terang-terangan menghina rakyat dan kedaulatan Malaysia.
1) Dalam keadaan dipercayai sedang mabuk, Matty mempersoalkan undang-undang kerajaan Malaysia berhubung Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT).
“Saya buat kesilapan apabila menerima tawaran persembahan ini. Saya tidak menelitinya dengan betul. Saya tidak nampak keperluan menjemput The 1975 di negara yang mana menentukan dengan siapa kita boleh melakukan hubungan seks.
“Saya minta maaf mempersendakan anda yang alim, namun kerajaan anda merepek. Saya tidak peduli, jika saya dihalang, saya akan balas semula,” katanya ketika membuat persembahan di acara berkenaan.
2) Bukan sekadar itu, dia juga menghina rakyat negara ini yang majoritinya Muslim dengan membawa botol dipercayai arak dan meneguknya.
3) Bahkan dia juga secara spontan meludah dan memberitahu tidak bersemangat untuk membuat persembahan gara-gara terkenangkan undang-undang negara ini.
4) Dalam masa sama Matty sempat menyelar tindakan sesetengah pihak yang terlalu cepat menilai atas segala perbuatannya sebelum ini.
“Saya menonton satu video di TikTok di mana saya memegang kanak-kanak iaitu anak kepada seorang sahabat. Kedudukan jari saya dikatakan tidak sopan. Adakah anda secara sengaja menuduh ia sebagai perbuatan pedofilia,” katanya.
5) Matty kemudiannya bertindak mencium mulut pemain bass kumpulan itu, Ross McDonalds di atas pentas dipercayai sebagai protes terhadap undang-undang berkaitan LGBT di Malaysia.
6) Selepas tindakannya itu, pentas bertukar gelap sebelum Matty yang dalam keadaan marah memaklumkan mereka telah disekat daripada meneruskan konsert di Malaysia.
Matty kemudiannya meninggalkan pentas sebelum diikuti oleh anggota The 1975 yang lain dan kru mereka.
7) Dalam pada itu, Matty berkata, keputusan membatalkan persembahan di Sepang tidak adil buat peminat The 1975 dan disebabkan itu mereka mengambil keputusan tidak meneruskan persembahan
Baca juga: Masuk kedai tapi tak beli barang, pemilik kedai buat keputusan caj RM25