Siapa sangka, pertemuan insan dari dua benua yang berbeza di sebuah kilang tempatan boleh membawa pasangan ini ke jinjang pelaminan.
Menyita perhatian ramai, kisah penyatuan cinta antara gadis Malaysia dengan seorang jejaka asal Bangladesh itu tersebar luas di media sosial.
Semuanya bermula dengan perkongsian wanita yang dikenali sebagai Nur Nadhirah Roslee mengenai pengalamannya bernikah di Joypurhat, Bangladesh.
Nadhirah mula berkenalan dengan suami, Mohammad Samim Hossein ketika bekerja di sebuah kilang pembuatan sarung tangan getah pada tahun 2018.
Perhubungan yang mula terbina atas kerja itu telah membuahkan bibit cinta apabila mereka berdua sering keluar meluangkan masa bersama.
“Kami kenal dekat kilang Top Glove Klang. Saya supervisor staff. Dia pula supervisor worker. Jadi kami kenal pada waktu itu. Dia dah lima tahun datang Malaysia.
“Skop kerja kami kena jaga kebajikan pekerja. Jadi saya banyak berjumpa dengannya. Tiba-tiba jadi rapat sebab dia mula ajak keluar.
“Dulu dekat kilang saya tak ramai kawan dengan staf. Saya kawan dengan pekerja Bangladesh dan Nepal je waktu tu.” Katanya memetik Mstar.
Memetik laporan Mstar, pasangan itu memang merancang untuk bernikah di Malaysia, namun atas sebab-sebab tertentu majlis tersebut terpaksa dibatalkan.
Pasangan dua sejoli itu akhirnya membuat keputusan untuk bernikah di Bangladesh dengan ditemani oleh bapa, ibu dan juga adik Nadhirah.
Berbeza dengan tanggapan orang ramai, majlis perkahwinan di kampung suami Nadhirah ternyata lebih meriah berbanding di Malaysia.
Malah, menerusi beberapa video yang dikongsi di laman TikTok, wanita itu menerima layanan yang cukup istimewa daripada keluarga mentua.
Berjaya mendapat tontonan daripada jutaan pengguna TikTok, Nadhirah berharap perkongsiannya itu dapat mengubah persepsi orang ramai.
“Jadi dengan video kongsian saya, saya harap dapat buka mata penonton yang orang Bangladesh ini tidak seteruk macam yang kita sangka.” Ulasnya.
Baca juga: Baru kerja dah kahwin, mak mentua ‘terasa hati’ anak bagi duit bulanan kurang sebab ada isteri