Pernah mendendangkan lagu hits yang sehingga kini meniti dibibir orang ramai, penyanyi lagu Teringin, Shima berhasrat untuk buat kemunculan semula.
Jika dilihat trend terkini adalah penyanyi lama mengeluarkan lagu baru meskipun sedar akan muzik zaman kini sudah berubah genre.
Buat masa ini, Shima dikatakan sedang mencari komposer dan syarikat rakaman yang sudi bekerjasama dengannya untuk melancarkan single lapor Harian Metro.
“Saya nak yang positif saja untuk tahun ini. Jadi, saya berharap permintaan ini (muncul dengan lagu baharu) didengar oleh mana-mana pihak yang sudi bekerjasama.
“Konsep lagunya mestilah macam dulu (era 1990-an). Saya generasi X dan selesa dengan lagu konsep lama. Lagu sekarang dah lain konsepnya dan tak sesuai dengan saya.
“Namun, saya tak kisah sama ada komposer itu baharu atau lama kerana saya tidak memilih. Asalkan kena dengan suara saya, pasti saya terima. Kadangkala komposer baharu pun bagus juga. Yang penting melodi dan lirik kena kuat.
“Begitu juga dengan syarikat rakaman tak kisahlah sama ada yang tempatan atau label antarabangsa. Saya amat bersyukur kalau ada yang sudi,” katanya seperti dipetik Harian Metro.
Jelasnya, dia menjadikan media sosial sebagai tempat latihan untuk mengasah kembali vokalnya semasa membuat siaran langsung.
“Saya aktif menyanyi secara ‘live’ di TikTok. Kiranya, ia macam latihan buat saya kerana saya menyanyi malam-malam. Dari situ ramai peminat mula minta saya hasilkan single baharu.
“Saya juga berharap dengan adanya single ini, peluang untuk buat ‘show’ semakin terbuka dan dapat muncul di TV.
“Ramai peminat di TikTok kata akan datang menonton jika saya diundang dalam program TV seperti di RTM.
“Kemunculan saya lebih bertujuan memeriahkan industri. Kalau nak kata persaingan, dari dulu pun dah ada. Ia sama seperti dulu bila saya dan barisan artis baharu muncul ketika itu, penyanyi sedia ada anggap satu persaingan,” tambahnya.
Baca juga: Jana RM10,000 dengan hanya 1 video, wanita dedah 3 kerja sampingan bergaji lumayan