Terkejut dengar letupan mercun, bayi berusia 38 hari meninggal dunia

Oleh KIM SYAZIE

Siapa sangka, bunyi letupan mercun yang kuat boleh mengorbankan nyawa seorang bayi yang baru melihat dunia selama 38 hari.

Sempat menerima rawatan, bayi itu menghembuskan nafas terakhirnya selepas enam hari bertarung nyawa di hospital.

Malang tidak berbau, kejadian itu terjadi pada malam raya Aidilfitri di Gresik, wilayah Jawa Timur, Indonesia, lapor Detik.com.

Ketika kejadian, mangsa dan ibu bapanya sedang berehat di dalam bilik tidur sebelum jiran mereka mula menyalakan mercun.

Terkejut mendengar letupan mercun yang terlalu kuat, mata kanan bayi malang itu tiba-tiba tidak boleh dibuka dan lidahnya juga dikatakan terbalik.

“Setelah mendengar mercun itu, anak saudara saya langsung terkejut hingga mata kanannya tertutup sebelah dan lidahnya terbalik ke atas.

“Dikasih asi (susu) ibunya tak mahu, karena lidahnya terbalik. Kedua orang tua membawanya ke klinik kemudian ke hospital,” kata ibu saudara mangsa bernama Nufus.

Mangsa kemudian dipindahkan ke unit rawatan rapi (ICU) di Hospital Muhammadiyah Lomongan kerana tidak sedarkan diri (koma).

Berdasarkan ujian prosedur imbasan tomografi berkomputer (CT Scan), ada pembuluh darah yang pecah dikesan di otak bayi itu.

“Tidak pernah terhantuk, doktor beritahu bahawa pecahnya pembuluh otak itu juga boleh disebabkan oleh kejutan yang luar biasa.” Ulasnya.

Baca juga: Berkelakuan tidak senonoh, ‘duyung’ terlepas di KLCC akhirnya di escort polis