Terkejut semak CTOS! Wanita dakwa nama digunakan beli laptop RM8,000 tanpa pengetahuan

Oleh MAISARAH AISYA

Seorang wanita mendakwa menjadi mangsa penyalahgunaan identiti selepas mendapati maklumat peribadinya dipercayai digunakan oleh individu lain untuk membuat pembelian barangan bernilai ribuan ringgit tanpa pengetahuannya.

Menerusi perkongsian di media sosial, wanita dikenali sebagai Hawa mendakwa namanya digunakan bagi mendapatkan pembiayaan kredit untuk pembelian sebuah komputer riba melalui sebuah institusi kewangan.

“Saya ada bukti yang awak telah menyalahgunakan MyTentera saya untuk kegunaan peribadi awak.

“Saya sudah menyerahkan gambar ini kepada pihak polis, termasuk slip gaji palsu yang awak gunakan untuk membeli laptop tersebut.

“Pembelian itu diluluskan pada 3 Mac 2026, dan saya langsung tidak tahu sehingga saya menyemak laporan CTOS saya semalam.

“Nasib baik saya tergerak hati untuk memeriksa laporan CTOS saya,” kongsinya di Threads.

Dalam perkongsian tersebut, Hawa mendakwa terdapat satu rekod pinjaman bernilai kira-kira RM8,000 yang diluluskan pada 3 Mac lalu oleh pihak kredit pengguna.

“Dan saya mendapati ada satu rekod telah ditambah pada 3 Mac 2026, bernilai RM8,000 oleh Aeon Credit. Malam itu juga, saya pergi ke pejabat Aeon Credit di Aeon AU2, Setiawangsa.

Saya bertanya mengenai pembelian bernilai RM8,000 tersebut, dan pihak Aeon hanya dapat memberikan alamat kedai yang menjual barangan itu, iaitu Syarikat AIS Mobile di kawasan Cheras.

“Saya sangka barang bernilai RM8,000 itu ialah yang saya terima panggilan daripada Aeon pada 27 Mac 2026 (rujuk thread saya sebelum ini sebulan lalu), rupanya dia berjaya membeli barangan tersebut lebih awal daripada itu,” jelasnya.

Menurutnya, hasil siasatan sendiri membawa kepada sebuah kedai telefon bimbit di kawasan Cheras, di mana dia mendakwa memperoleh beberapa bukti termasuk gambar individu yang dikatakan menggunakan identitinya.

Wanita itu turut mendakwa individu terbabit menggunakan dokumen palsu termasuk slip gaji yang telah diubah suai bagi meluluskan pembelian berkenaan.

Dia juga memaklumkan telah membuat laporan polis serta menyerahkan bukti berkaitan bagi membantu siasatan.

Hawa memaklumkan dia kehilangan MyTentera pada November 2025, malah laporan polis juga sudah dibuat pada 9 November.

Ada netizen mempersoalkan proses pengesahan identiti yang digunakan oleh pihak pemberi pinjaman, terutama apabila melibatkan pembelian bernilai tinggi.

Baca juga: Melampau sunting gambar hina Sultan Selangor, polis berjaya kesan pengguna FB & rampas telefon