Keletah personaliti media sosial cilik, Fatimah yang bertutur di dalam dialek Kelantan bersama adiknya, Omar Mukhtar pernah mencuri hati rakyat Malaysia suatu ketika dahulu.
Namun gambar serta video terbaharu Fatimah yang dimuat naik di akaun Instagram The Family UK telah menimbulkan tanda tanya berhubung status kesihatan kanak-kanak itu ekoran sering mengunjungi hospital.
Tampil berkongsi perkembangan Fatimah, ibunya iaitu Nor Ashila Mahamed Ismail memberitahu bahawa keadaan kesihatan anak keduanya itu semakin lemah sejak dua hari lepas.
Malah, pendarahan yang dialami oleh kanak-kanak berusia 10 tahun itu juga masih belum berhenti susulan menjalani prosedur pembedahan biopsi pada minggu lepas.
Perkara tersebut dimaklumkan Nor Ashila pada pagi Jumaat menerusi kiriman mesej yang dihantar kepada portal hiburan atas talian tempatan iaitu Mstar, lapor media berkenaan.
“Fatimah mengalami pendarahan selepas prosedur pembedahan biopsi pada minggu lepas. Hari ini sudah masuk hari kelapan Fatimah mengalami pendarahan.
“Sehingga kini, masih lagi belum berhenti (pendarahan). Keadaan Fatimah semakin lemah semenjak dua hari lepas,” katanya dalam pesanan tersebut memetik laporan Mstar.
Difahamkan, pemilik nama sebenar Fatimah Omar Mukhlis itu telah ditempatkan di sebuah hospital terletak Birmingham, United Kingdom (UK) sejak bulan Mac yang lalu.
Nor Ashila dalam pesanan tersebut turut memohon jasa baik orang ramai untuk terus mendoakan kesembuhan anaknya khususnya supaya pendarahan dialami anaknya berhenti dengan segera.
“Pada hari Jumaat yang mulia ini, kami sekeluarga dengan penuh rendah diri dan pengharapan ingin memohon jasa baik anda semua agar sudi mendoakan Shifa’ dan Aafiyah kepada anak kesayangan kami yang masih berada di hospital.
“Pohon jasa baik anda semua untuk membuat doa khusus agar pendarahan berhenti dengan segera. Semoga berkat doa ramai, Allah kurniakan keajaiban buat Fatimah.
“Terima kasih juga kepada semua yang tidak putus-putus bertanyakan khabar, mendoakan dan juga menitipkan kata-kata semangat buat Fatimah dan kami sekeluarga.” Ulasnya.