Seorang lelaki tidak menyangka bakal dikenakan tindakan buang sekolah selepas nekad mempertahankan dirinya daripada terus menjadi mangsa buli pelaku yang merupakan pelajar senior.
Hal ini berikutan lelaki terbabit bertindak menghayunkan besi katil ke arah tubuh badan pembulinya dalam usaha untuk menyelamatkan diri selepas dipukul oleh pelajar senior berkenaan.
Namun sayangnya, keputusan itu malah menyebabkan mangsa buli terbabit dikenakan tindakan oleh pihak sekolah kerana telah mendatangkan kecederaan terhadap orang lain iaitu pembulinya.
Lebih memilukan, mangsa buli terbabit dipercayai turut ‘dihukum’ oleh bapanya di rumah yang mungkin merasa kecewa apabila anaknya mencederakan orang lain sehingga dikenakan tindakan buang sekolah.
Kejadian tersebut difahamkan sudah lama berlalu namun kembali dikongsikan oleh mangsa buli itu menerusi satu perkongsian di platform media sosial Threads sebagai pengajaran terutama kepada ibu bapa.
“Aku pernah kena buang sekolah sebab ‘tibai’ (memukul) senior. Mereka yang kepung dan tibai aku dahulu. Kalau tak melawan langsung, mungkin aku yang masuk wad ketika kejadian berlaku.
“Kebetulan pada masa itu, barang yang paling senang aku nak capai hanyalah besi katil dekat tingkat atas itu. Jadi aku hayun sahajalah (untuk pertahankan diri). Itu yang sampai seorang (pembuli) patah bahu.
“Seorang lagi kena jahit dekat dahi. Kesimpulannya, aku kena buang sekolah kerana mendatangkan kecederaan. Padahal mereka yang buli aku dahulu. Dekat rumah, kena sesah (pukul) pula dengan bapak aku,” kesalnya.
Dalam perkongsian itu, lelaki terbabit turut memberikan peringatan kepada ibu bapa supaya lebih prihatin dengan keadaan anak-anak dan mendengar luahan hati mereka sebelum terlambat.
Sekiranya tindakan tidak diambil dengan cepat terutama di dalam kes pembulian, dikhuatiri anak-anak tidak dapat diselamatkan daripada segi fizikal mahupun emosi akibat daripada penderaan yang dialami.
“Jangan sampai kita ini tak percaya langsung apabila anak beritahu mereka kena buli. Jangan sampai terlambat. Ya, aku ajar anak untuk lawan sahaja siapa yang membulinya. Sebab aku tak boleh lindungi dia sepanjang sama.
“Aku juga tak akan ada di dunia ini dengan dia sampai bila-bila.” Jelasnya yang masih tidak dapat melupakan kejadian meninggalkan kesan cukup mendalam buat dirinya itu.
Mangsa buli itu kemudian mendaftar masuk ke sekolah biasa selepas dibuang oleh intitusi pendidikan berasrama berkenaan dan kini sudah bahagia bersama keluarganya selain memiliki dua cahaya mata.
Baca juga: Sengaja letak kaki biar dilenyek lori, netizen dakwa lelaki cuba scam insuran