Tiada lagi ruang buat Syamsul, Puteri Sarah minta doakan supaya cepat dapat jodoh

Oleh KIM SYAZIE

Belum lagi habis tempoh eddah, pelakon sensasi, Puteri Sarah memohon doa orang ramai agar dikurniakan jodoh secepat mungkin.

Pernyataan tersebut bagai memberi bayangan bahawa tiada lagi ruang yang tersisa buat bekas suaminya iaitu pengarah, Syamsul Yusof.

Berpegang dengan konsep ‘no turning back’ (tidak akan berpatah balik), Puteri Sarah enggan kembali kepada kehidupan yang pernah dijalaninya dulu.

“Motto hidup saya ‘no turning back’ terutama tidak akan kembali semula dengan kehidupan dahulu,” kata pelakon yang berusia 38 tahun itu.

Meminta agar segera dikurniakan jodoh, Sarah bagaimanapun tidak meletakkan kriteria khusus untuk memilih calon pengganti Syamsul. 

Ibu tunggal kepada dua orang cahaya mata itu hanya berharap agar bakal pendamping hidupnya itu boleh menerima kehadiran anaknya.

Pelakon drama ‘Andai Itu Takdirnya’ itu juga tidak menolak jika takdir menentukan jodohnya dengan seseorang yang datang dari industri hiburan.

“Semoga saya jumpa jodoh saya cepat macam Nad Zainal, macam Mizz Nina. Doakan saya jumpa jodoh yang baik, boleh sayang saya dan anak-anak.

“Saya tidak mahu cakap tidak (menolak jodoh orang dalam industri). Sebab kalau saya cakap tidak, nanti tiba-tiba, manalah tahu (ada jodoh),” katanya.

Menyita perhatian ramai, doa itu dipinta Sarah dalam satu sesi siaran langsung yang diadakan menerusi akaun Tiktok miliknya.

Sempat dirakam oleh seorang pengguna TikTok, video siaran langsung itu kemudian dimuat naik semula di platform berkenaan.

Untuk rekod, Syamsul dan Sarah mendirikan rumah tangga pada 8 Mac 2014 lalu dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Syaikul Islam dan Summayah.

Bertahan selama sembilan tahun, perkahwinan pasangan itu berakhir setelah sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur pada 14 Jun lalu.

Baca juga: Punyalah ‘all-out’ Bell Ngasri minta undi dari peminat, dah macam kempen pilihan raya!