Sehingga kini orang ramai beranggapan harga tiket kapal terbang menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) masih mahal walaupun beberapa syarikat penerbangan mendakwa sudah menawarkan harga terbaik bagi perjalanan ke Sabah dan Sarawak.
Susulan itu, sekumpulan mahasiswa menuntut agar kerajaan menerusi kementerian pengangkutan memberi diskaun 50 peratus kepada pengundi atau Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia segera membenarkan kaedah undi secara pos.
Menerusi satu kenyataan hari ini, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) menyatakan kegusaran dan kekecewaan terkait harga tiket kapal terbang melambung tinggi yang dianggap tidak munasabah.
Untuk rekod, di Sarawak, seramai 129, 034 pengundi (18-20 tahun) dan 416, 645 pengundi (21-19 tahun) manakala di Sabah mempunyai seramai 127, 582 (18-20 tahun) dan 405, 760 (21-29 tahun) telah berdaftar mengundi.
“PKPIM menggesa diskaun 50 peratus tiket kapal terbang diberikan kepada para pengundi muda berusia bawah 30 tahun bagi melaksanakan tanggungjawab kenegaraan memilih pemimpin bagi lima tahun akan datang.
“PKPIM mengesyorkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi menimbangkan cadangan pelaksanaan undi Pos untuk kemudahan mahasiswa.
“Mekanisma ini diharapkan dapat meningkatkan peratusan keluar mengundi terutamanya bagi mahasiswa yang tidak punyai kemampuan balik mengundi,” katanya.
Kenyataan tersebut dibuat bersama Timbalan Presiden PKPIM, Muhamad Nazmi Ab Rahim; Yang Dipertua PKPIM Sabah, Muhamad Izuddin Hasanuddin; Yang Dipertua Persatuan Kebajikan Pelajar Islam Sarawak (PERKEPIS), Muhammad Luqmanul Hakim Mohamad Suffian.
Dalam pada itu, mereka turut menegaskan agar langkah proaktif digerakkan termasuklah sumbangan dari sektor gergasi koporat supaya dapat membantu meringankan anak muda balik mengundi.

Baca juga: Pinjaman beli rumah dan kereta tak dapat dielak, hutang keliling pinggang bukan berlagak kaya