Tiktoker paling terkenal di dunia rupanya Muslim, mula hafal Al-Quran sejak 14 tahun

Oleh WAN SITI AMINAH

Personaliti TikTok terkenal, Khaby Lame telah berjaya mengejutkan orang ramai selepas membuat satu pendedahan yang mengejutkan.

Bukan sahaja bergelar seorang Muslim, Khaby yang mempunyai pengikut TikTok teramai di dunia itu juga adalah seorang hafiz (penghafal) Al-Quran.

Menyita perhatian ramai, pendedahan berkenaan dibuat ketika pemuda yang berusia 23 tahun itu ditemu bual oleh media Itali, Fanpage.it.

Walaupun sudah menetap di Itali sejak berusia satu tahun, Lame yang dilahirkan di Senegal, Afrika Barat itu mengakui masih mengamalkan ajaran Islam.

Malah, Lame turut mendedahkan bahawa dia sudah mula mendalami agama dan menghafaz kitab Al-Quran semenjak umurnya berusia 14 tahun.

Ketika itu, Lame dihantar oleh ibu bapanya untuk melanjutkan pelajaran di sebuah sekolah agama yang terletak berhampiran Dakar, Senegal.

“Ya saya seorang Muslim, dan saya hidup dengan mengamalkan ajaran Islam. Saya tidak tahu bagaimana lagi mahu menjelaskannya,” katanya.

Terkenal di media sosial, Khaby Lame telah berjaya memiliki pengikut TikTok yang paling ramai di dunia iaitu mencecah 161.8 juta.

Lame yang merupakan bekas pekerja kilang itu mula menyertai platform TikTok setelah hilang pekerjaan akibat pandemik COVID-19 pada Mac 2020 lalu.

Digesa bapa untuk mencari pekerjaan baharu, Lame malah menghabiskan masa berjam-jam bagi menghasilkan video di platform berkenaan.

Percaturan itu berjaya apabila video sindiran dan reaksi lucunya terhadap ‘life hacks’ yang dianggap terlalu rumit telah berjaya mencuit hati penonton.

Baca juga: Ellie Suriaty cipta kejutan, tampil lebih cantik dan muda lepas setahun bercerai