Pakatan Harapan (PH) Negeri Melaka berpandangan tindakan Datuk Seri Sulaiman Md Ali yang membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai langkah yang terburu-buru dan tidak sepatutnya dilakukan.
Pengerusi PH Melaka yang juga bekas Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, Sulaiman sepatutnya mengambil kira pandangan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang tidak bersama dengan kerajaan, dan bukannya terus membubarkan DUN.
“Merujuk perkara perlembagaan negeri, jika KM tidak lagi mendapat kepercayaan sebilangan besar Adun, maka KM hendaklah meletakkan jawatan majlis mesyuarat kerajaan negeri.
“PH berpandangan Ketua Menteri tidak lagi mempunyai kepercayaan majoriti dan tidak wajar menasihati Yang Dipertua Negeri untuk membubarkan DUN Ke-14,” katanya dalam sidang media hari ini.
Pada masa sama, Adly berkata, pengumuman Speaker DUN, Datuk Seri Abdul Rauf Yusoh bahawa kerajaan sedia ada akan menjadi ‘caretaker government’ adalah mengelirukan.
Ini kerana katanya, tidak wajar untuk seseorang yang sudah kehilangan kepercayaan dibenar menjalankan tugas sebagai ‘caretaker government’.
“PH Melaka berpandangan bahawa norma biasa tidak dilaksana oleh pentadbiran tertinggi kerajaan negeri dalam menangani krisis politik. PH akan rujuk proses ini di mahkamah bagi memastikan keabsahan ‘caretaker government’ yang diumum oleh Speaker DUN.
“Ikut ‘precedent’ pada 2020 apabila saya hilang kepercayaan, tugas pentadbiran negeri dipertanggungjawabkan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri sehingga Ketua Menteri baru dilantik.
“PH Melaka berpegang bahawa kestabilan politik adalah perkara asas dalam berhadapan pandemik Covid-19 dan memulihkan negara,” katanya lagi.
Terdahulu, Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Mohd Rustam memberi persetujuan untuk membubarkan DUN selepas mendapat nasihat dari Sulaiman.
Perkara itu diumumkan Speaker Dun Abdul Rauf petang semalam sekaligus memberi laluan kepada pilihan raya negeri mengejut.