Tular gambar pekerja asing di Malaysia jadikan botol pencuci pinggan sebagai botol air, netizen pula sebak tengok

Oleh KIM SYAZIE

Tindakan seorang pekerja warga asing menggunakan botol pencuci pinggan sebagai bekas air minuman menyentuh hati ramai pengguna media sosial, selepas kisah itu dikongsikan tular di media sosial.

Perkongsian tersebut dimuat naik oleh pengguna Threads, @wawawyda, yang menceritakan bagaimana suaminya menyedari salah seorang pekerja warga asing menggunakan semula botol sabun pencuci pinggan sebagai botol air minumannya.

Menurutnya, suaminya kemudian bertindak membeli beberapa botol air baharu dan memberikannya kepada pekerja tersebut serta rakan-rakannya.

“Suami tunjuk pekerja warga asing ini guna botol air dia pencuci pinggan.

“Lepas itu, suami pergi beli botol dan bagi kepada pekerja itu dengan yang lain,” tulisnya.

Di ruangan komen, ramai netizen meluahkan rasa tersentuh dengan pengorbanan pekerja asing yang hidup berjimat demi menyara keluarga di negara asal.

Seorang pengguna, sha.alshahab, berkata kebanyakan pekerja asing sebenarnya memperoleh pendapatan yang agak baik, namun memilih untuk mengikat perut demi mengirim sebahagian besar wang kepada keluarga mereka.

“Mereka ini bukan tak ada duit. Duit gaji mereka banyak sebenarnya. Tapi disebabkan mereka ke sini demi keselesaan keluarga di kampung.

“Jadi mereka betul-betul ikat perut di sini semata-mata nak hantar duit dekat keluarga di negara mereka,” katanya.

Seorang lagi pengguna, puteri_erinee, menyifatkan tindakan pasangan tersebut sebagai satu perbuatan yang sangat mulia.

“Memanusiakan manusia, terima kasih kakak,” tulisnya.

Sementara itu, pengguna lain turut mengakui berasa insaf apabila melihat pekerja asing yang sanggup menggunakan semula botol terpakai demi berjimat.

Baca juga: Rupanya ini peranan Anwar dalam penubuhan Yayasan Anda, PMX sempat jadi guru!