Baru-baru ini tular satu rakaman memaparkan seorang pelancong asing meluahkan rasa ketidakpuasan hatinya terhadap pengusaha motosikal sewa di Pulau Langkawi, Kedah.
Menerusi rakaman tular dimuat naik di platform TikTok, pelancong wanita itu mendakwa bahawa dirinya dianiaya oleh pengusaha terbabit atas dakwaan kerosakan motosikal yang disewanya.
Wanita itu memaklumkan bahawa pengusaha terbabit kononnya meminta wang bayaran ganti rugi sebanyak RM1,000 yang disifatkannya terlalu mahal sedangkan kerosakan dikatakan tidak begitu teruk.
Perkongsian itu berjaya meraih ratusan ribu tontonan dari pengguna TikTok sehingga memaksa pengusaha terbabit tampil mempertahankan dirinya selepas menjadi sasaran kecaman orang ramai.
Pengusaha dikenali sebagai Hayes Ryan itu menjelaskan bahawa duit ganti rugi yang diminta daripada pelancong terbabit adalah sebanyak RM400 sahaja bukan RM1,000 seperti didakwa dalam video tular tersebut.
“Wanita itu menjatuhkan motosikal hingga menyebabkan calar dan bahagian ‘fork’ (komponen penyambung antara sepit udang dengan pemegang motosikal) bengkok ke sebelah kiri. Jadi, semua kerugian dianggarkan RM400.
“Selepas itu dia tak mahu bayar, cakap banyak. Aku cakap yang harga ini sebenarnya agak murah. Kalau kedai lain mungkin minta ganti RM1,000. Tetapi dia sunting video itu, bagi nampak macam aku minta RM1,000,” kesalnya.
Ryan menerusi penjelasan yang turut dibuat di platform TikTok itu mengakui bahawa rakaman dimuat naik oleh pelancong asing terbabit telah memberikan imej buruk kepada perniagaannya.
Anak kelahiran Pulau Langkawi itu juga menyangkal dakwaan yang menuduhnya sebagai pengusaha warga asing sebaliknya sememangnya fasih berbahasa Inggeris selain mampu bertutur dalam bahasa Rusia.
“Kepada hampa (kamu) semua yang ingat aku orang luar, nak beritahu. Aku orang Langkawi. Cakap bahasa Melayu boleh, Inggeris malah bahasa Rusia juga boleh. Aku orang Malaysia, jangan terperdaya sangat dengan loghat.
“Sampai ada yang ingat aku orang luar masuk kerja dekat Malaysia. Bukan, aku orang Langkawi. Nak datang periksa kad pengenalan aku pun boleh. Jangan percaya video suntingan orang.” Pesannya.
Baca juga: Pembantu rumah dibuang kerja, kerap hina isteri majikan dalam ‘live’