Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir menegaskan bahawa beliau tidak lagi berhasrat untuk menyandang jawatan Perdana Menteri buat kali ketiga sekiranya Perikatan Nasional (PN) berjaya membentuk kerajaan.
Sebaliknya, negarawan berusia 100 tahun itu hanya mahu memainkan peranan sebagai penasihat memandangkan faktor usianya juga membataskan kemampuannya untuk kembali menerajui pentadbiran negara.
Bagaimanapun pemimpin itu masih mahu menyumbang pengalaman lebih 80 tahun dalam politik untuk negara dengan memberi khidmat nasihat terutama mengenai langkah-langkah terbaik dalam membangunkan negara.
Dr. Mahathir berkata sedemikian ketika berucap dalam Himpunan Mandat Negarawan yang berlangsung malam tadi di Stadium Sultan Abdul Halim, Suka Menanti, Alor Setar, Kedah, lapor Berita Harian.
“Saya sudah tua, usia 100 tahun. Sudah tak boleh berucap lantang seperti dulu. Saya bukanlah nak rampas tempat orang muda. Kita terima orang muda untuk memimpin negara. Bukan saya nak jadi Perdana Menteri sekali lagi.
“Tetapi saya nak berikan nasihat. Saya pernah jadi Perdana Menteri selama 24 tahun dan terlibat dalam politik lebih 80 tahun. Tentulah ada sedikit sebanyak yang boleh saya sumbangkan,” katanya memetik laporan Berita Harian.
Himpunan itu turut dihadiri pemimpin tertinggi PN antaranya Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Timbalan Pengerusi PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin; dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Dr. Mahathir mendakwa sekiranya PN berjaya mengambil alih pentadbiran Putrajaya, kepimpinan kerajaan itu bakal memberikan tumpuan khususnya kepada isu kemiskinan dan akan memastikan masalah rakyat dapat diselesaikan.
Hal ini berikutan PN akan membawa suatu pendekatan kepimpinan baharu yang lebih terbuka dalam menerima pandangan dan nasihat sekali gus mampu menyelesaikan pelbagai isu rakyat.
“Negara ini sebenarnya kaya, rakyat patut hidup senang. Tetapi kalau kita tak tahu urus dan manfaatkan aset yang ada, kita tak akan ke mana. Tanggungjawab utama kerajaan ialah menyelesaikan masalah kemiskinan.
“Kalau PN memerintah, kita akan tumpu untuk kurangkan kemiskinan. Itu tujuan utama kita berkumpul malam ini. Kalau berlaku perubahan kerajaan, kita akan ada Perdana Menteri yang sedia dengar nasihat.
“Saya percaya banyak masalah dapat diselesaikan kalau kepimpinan sanggup terima pandangan,” ujarnya yang juga merupakan Ketua Panel Penasihat Sidang Kemuncak Kerajaan Empat Negeri (SG4) dalam ucapannya.
Pemimpin itu juga menyeru orang Melayu untuk kembali bersatu terutamanya bagi membentuk dominasi kaum dalam kerajaan yang kini didakwa sudah semakin lemah dan kehilangan kuasa ekoran tidak lagi dominan dalam pentadbiran negara.
Baca juga: New Zealand nyatakan minat sertai Majlis Halal ASEAN, kukuh kerjasama dengan Malaysia