Umno berkonspirasi jatuhkan kerajaan negeri yang dipimpin wakilnya sendiri

Oleh ARIF ATAN

Seperti saya kata dalam tampalan bertajuk “Contoh Buruk Cepat Diikut”, Mahiaddin Md Yasin ajar cara jatuhkan kerajaan pilihan rakyat dan Ahmad Zahid Hamidi ajar cara jatuhkan ketua kerajaan. Mahiaddin jatuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Ahmad Zahid jatuhkan Mahiaddin.

Jadi, tidaklah menghairankan apabila di Melaka dua orang Ahli Dewan Undangan Negeri Umno – Idris Haron (bekas Ketua Menteri) dan Nor Azman Hassan – berpakat dengan Noor Effandi Ahmad (Bersatu) dan Norhizam Hassan Baktee (Bebas) menjatuhkan Ketua Menteri dari Umno. Umno jatuhkan Umno.

Penyakit yang dicetuskan oleh Mahiaddin menjangkiti Ahmad Zahid. Sekarang gabungan virus politik Mahiaddin dan Ahmad Zahid telah mula merebak dan dibimbangi akan menjadi wabak.

Berpandukan apa yang terjadi di Melaka, tidak seorang pun Menteri Besar, Ketua Menteri malah Perdana Menteri selamat daripada dijatuhkan kerana ahli parti sendiri boleh bertindak menjatuhkan mereka dengan hanya membuat pengumuman menarik balik sokongan.

Secara tidak langsung, Umno telah hilang kawalan atau sengaja berkonspirasi menjatuhkan kerajaan negeri yang dipimpin oleh wakilnya sendiri.

Timbul persoalan, mengapa Ahmad Zahid sebagai Presiden Umno dan Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri merangkap Naib Presiden Umno tidak campur tangan menyekat perobohan kerajaan Umno Melaka itu?

Adakah mereka merestui peristiwa itu atau mereka saling tidak berdaya campur tangan kerana kepemimpinan tertinggi Umno sedang dilanda krisis perpaduan dan kewibawaan?

Kita tunggu dan lihat, apakah tindakan Ibu Pejabat Umno terhadap dua Adunnya yang bersekongkol menjatuhkan kerajaan pimpinan Umno di Melaka itu.

Semalam, Ahmad Zahid dilaporkan berkata, Adun yang terbabit menjatuhkan kerajaan Melaka pimpinan Sulaiman Md Ali itu akan digugur keahlian mereka dalam Umno.

Daripada sudut yang lain pula, bukan mudah bagi Ahmad Zahid menumpukan sepenuh perhatian kepada Umno dengan kes mahkamah yang semakin mencabar yang dihadapinya.