Anwar Ibrahim sumbang 80 lembu, korban atas nama anak yatim dan asnaf Permatang Pauh

Oleh MALAYSIADATELINE

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyumbang sebanyak 80 ekor lembu khusus buat komuniti Permatang Pauh untuk menjalani ibadah korban bersempena dengan sambutan Hari Raya Aidiladha.

Khabar gembira tersebut disampaikan menerusi satu perkongsian di platform Facebook melalui akaun Keadilan Permatang Pauh yang turut mengucapkan terima kasih kepada Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu.

Difahamkan, inisiatif tersebut adalah satu bentuk sumbangan dikorbankan atas nama golongan asnaf, mereka yang memerlukan, serta anak-anak yatim di sekitar kawasan Permatang Pauh.

“Alhamdulillah, syukur ke hadrat Illahi. Bagi menyambut Hari Raya Aidiladha yang bakal menjelang, sebanyak 80 ekor lembu percuma telah disediakan oleh PMX khas untuk komuniti di Permatang Pauh.

“Semoga inisiatif daripada Parti Keadilan Rakyat ini membawa keberkatan dan kegembiraan buat semua keluarga yang menerima. Keadilan Untuk Semua,” ujar pentadbir akaun tersebut di ruangan kapsyen.

Tinjauan di ruangan kapsyen mendapati orang ramai menyambut baik inisiatif pemimpin terbabit malah penduduk Permatang Pauh juga merasa terharu kerana mereka tidak dilupakan.

Pentadbir akaun Facebook itu juga tampil menjawab kecaman netizen yang mempersoalkan ‘bahagian’ Parlimen Tambun dengan menjelaskan bahawa golongan memerlukan di kawasan diwakili Anwar juga akan menerima sumbangan lembu.

Baca juga: Anwar umum peruntukan RM42.3 juta, perkasa pembangunan syiar Islam di Negeri Sembilan