Baru-baru ini tular satu perkongsian dari seorang pemuda bergelar usahawan yang menghadapi masalah kewangan akibat tersalah percaturan ketika mahu mengembangkan perniagaan miliknya.
Kini terpaksa menjalani hidup dengan ‘gali lubang, tutup lubang’, pemuda terbabit mengakui segalanya bermula dengan keputusannya membuat pinjaman daripada bank sebanyak RM15,000.
Wang itu dikatakan digunakan untuk membeli barangan keperluan premis perniagaan yang ‘premium’ sedangkan keuntungan diperoleh tidak bertambah malah merosot sehingga membebankan kewangannya.
Usahawan itu kemudian mengambil keputusan terburu-buru akibat panik dengan membuat pinjaman tambahan sebanyak RM5,000 untuk menampung bayaran bulanan hutang yang terdahulu.
“Rezeki semakin sempit, rasa gelisah dan tidak tenang. Ini bukan pengalaman yang sudah berlalu tetapi sedang aku hadapi sekarang. Aku sendiri tak faham kenapalah boleh buat keputusan macam itu. Tetapi ingat lagi perasaan masa itu.
“Terdesak. Malu nak mengaku susah. Nak tampung hidup dan pusing modal. Jadi aku mohon ‘loan’ RM15,000. Untuk permulaan, aku bisik dalam hati. Namun beberapa bulan setelah itu, perniagaan merosot. Duit semakin menyusut tetapi bayaran bulanan pinjaman kena bayar.
“Aku panik dan tekan butang mohon pinjaman lagi. Kali ini RM5,000. Nak tampung bayaran bulanan pinjaman pertama. Itu silap aku yang kedua. Tak cukup dengan itu, aku mohon lagi pinjaman RM20,000 untuk bayar semua hutang awal tadi,” kongsinya.
Namun apabila wang RM20,000 tersebut masuk ke dalam akaun bank miliknya, lelaki berkenaan sekali lagi tersilap langkah dengan membeli barangan yang kononnya bertujuan untuk pelaburan di masa hadapan.
Pemuda itu juga membuat permohonan kad kredit untuk menampung perbelanjaan bulanan namun keputusan tersebut terbukti semakin membebankannya akibat tidak dapat mengawal pengeluaran.
“Semuanya hanyut. Bodohnya pergi beli emas kemudian gadai balik. Mohon kad kredit, tak lama tambah satu lagi. Had kredit naik, aku pun ikut naik kepala. ‘Swipe’ sana-sini, bayar amaun minimum. Sekarang tengok semula, jumlah hutang aku sudah cecah RM100,000.
“Aku masih hidup. Tetapi macam mayat yang bernyawa. Setiap kali meniaga, duit tinggal RM10. Bulan lepas, aku hanya makan nasi putih dengan telur hampir setiap malam. Bukan sebab diet, tetapi itu sahaja yang mampu. Aku mula rasa tiada nilai.
“Bangun pagi rasa berat. Solat pun menangis, sebab rasa menyesal. Aku sendiri yang undang semua ini. Sekarang sedikit demi sedikit aku jual barang semula. Buat servis kecil-kecilan. Aku tak nak hidup di dalam penjara hutang sampai mati,” tegasnya.
Perkongsian tersebut dibuat oleh usahawan terbabit di akaun media sosial Threads miliknya sebagai pengajaran sebelum dibanjiri komen berupa kata-kata semangat dan cadangan untuk ‘menyerah diri’ di Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).
Baca juga: 17 tahun tanggung sendiri anak, Raja Azura nasihat para suami jangan lari daripada tanggungjawab