Pendakwah bebas terkenal, Ustaz Azhar Idrus kembali mencuri perhatian ramai baru-baru ini selepas tampil dalam sesi temu bual ‘Pasang Badan’ yang dikendalikan oleh penyampai radio iaitu DJ Nazz.
Rakaman sesi temu bual tersebut kemudian dimuat naik di akaun TikTok milik DJ Nazz memaparkan perkongsian pendakwah yang turut dikenali sebagai UAI itu mengenai jenama dan harga pakaiannya.
Menurut Ustaz Azhar, kopiah dan jubah atau gamis yang dipakainya dalam segmen Pasang Badan tersebut adalah daripada jenamanya sendiri masing-masingnya berharga RM35 dan RM140.
Penceramah terkenal dari Terengganu itu turut memakai sandal berjenama Bedrock yang dibeli di Los Angeles oleh pembantu peribadinya dengan harga $180 USD (Dolar Amerika Syarikat) atau sekitar RM760.
Namun perkara yang paling menarik adalah Ustaz Azhar mendedahkan bahawa dirinya gemar mengumpul koleksi jam pelbagai jenama tergolong di dalam kategori ‘murah’ atau berharga RM10,000 ke bawah.
“Jam tangan saya berjenama ini Oris, murah sahaja. Dibeli di Pertama Kompleks di tingkat atas. Harganya $USD1,200 (kira-kira RM8,800). Saya pilih jam ini sebab ia berfungsi secara automatik. Jika tak dipakai, jam ini akan berhenti berfungsi sementara.
“Saya suka jam macam ini. Saya juga adalah pengumpul jam tetapi dalam kategori murah. Jika jam kategori mahal atau sederhana, itu lain. Kalau harga RM10,000 ke bawah itu dipanggil jam murah. RM10,000 sampai RM100,00 jam sederhana.
“Manakala jam berharga RM100,000 ke atas masuk dalam kategori mahal. Jika saya tengok jam cantik dan harganya RM2000 atau RM3000, memang akan beli. Tetapi kalau masa itu ada duitlah,” kongsi Ustaz Azhar dalam rakaman itu.
Menerusi temu bual tersebut, Ustaz Azhar turut berkongsi falsafah dalam berpakaian yang menurutnya paling penting adalah tidak melanggar batas syariat dan bergaya mengikut keinginan masing-masing.
Ustaz Azhar juga berpendapat bahawa tidak mengapa jika seseorang itu menggayakan pakaian mahal namun dengan syarat tidak lupa untuk bersedekah kerana terdapat bahagian orang lain dalam rezeki kita.
“Mahal tidak mengapa, janji kita ada bersedekah. Jangan mahal untuk diri kita sahaja. Walaupun membazir duit, tetapi bahagian sedekah itu kena ada. Jangan nak cantik untuk kita sahaja tetapi orang lain tak merasa.” Jelasnya.
Baca juga: Cikgu hilang kata-kata mengajar generasi sekarang, baru darjah empat dah perangai ‘loyar buruk’