Usahawan sensasi, Datuk Seri Vida bersedia menuntut ilmu berkaitan pengurusan bola sepak dengan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Vida berharap pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) itu sudi berkongsi ilmu dengannya sebagai persediaan untuk mengambil alih Kelantan FC.
Ahli perniagaan itu juga bakal turun ke Johor Baharu pada 22 Julai ini untuk menyaksikan final Piala FA antara JDT dengan Kuala Lumpur City.
Selain menonton perlawanan, anak kelahiran Tanah Merah itu berhasrat mahu melawat segala fasiliti yang ada di Stadium Sultan Ibrahim.
“Sebelum ini saya hanya penaja dan situasi itu pastinya berbeza apabila menjadi pemilik pasukan (Kelantan FC).
“Kejayaan TMJ membangunkan pasukan JDT wajar dijadikan sebagai contoh buat saya selaku orang baharu dalam bola sepak.
“Saya harap Baginda sudi berkongsi ilmu berkait dengan pengurusan pasukan bola sepak,” kata Vida memetik Utusan Malaysia.
Bukan sekadar ‘hangat-hangat tahi ayam’, Datuk Vida serius dan ingin membuktikan kesungguhannya untuk memiliki skuad The Red Warrior (TRW).
Hal ini kerana, menurut anak jati kelahiran Tanah Merah itu, TRW adalah ‘jiwa’ bagi rakyat Kelantan.
Sementara itu, pemilik Kelantan FC iaitu Norizam Tukiman dijangka bakal mengumumkan satu berita penting pada jam 3 petang nanti (Khamis).
Mahu mendedahkan rakan kongsi baharu Kelantan FC, Norizam mendakwa individu berkenaan bukanlah Datuk Vida mahupun Erfan Akif.
Merupakan rakan baik kepada Norizam sendiri, individu itu kononnya adalah seorang tokoh VVIP yang berstatus Datuk.
Baca juga: Aaisyah dah mula sunyi tak ada adik, Che Ta & Zain rancang dapatkan anak kedua