Video gimik pasangan gaduh di pasar raya undang persepsi negatif, tular ke luar negara

Oleh WAN SITI AMINAH

Siapa sangka, video gimik memaparkan pasangan suami isteri bertengkar ketika membeli barangan keperluan Hari Raya Aidiladha di sebuah pasar raya milik seorang selebriti terkenal kembali tular sehingga ke luar negara.

Namun sayangnya penularan rakaman tersebut dicemari dengan persepsi negatif terutama kepada agama kerana mereka menyangka insiden di pasar raya itu benar-benar terjadi melibatkan komuniti Islam.

Perkara berlaku selepas rakaman berkenaan dimuat naik oleh seorang wanita dipercayai berbangsa Yahudi dikenali sebagai Dahlia Kurtz menerusi satu hantaran di akaun X miliknya tanpa mengetahui situasi sebenar.

“Kalau suami dia boleh bertindak sedemikian di khayalak ramai, bayangkan macam mana pula lelaki itu melayan isterinya ketika tiada orang lain (di rumah),” ciap Dahlia dalam hantarannya di platform X itu.

Perkongsian tersebut bagaimanapun mula mengundang gambaran buruk khususnya kepada agama apabila rata-rata pengguna terdiri daripada masyarakat antarabangsa malah mengaitkan kejadian itu dengan ‘norma’ Islam.

Mereka berpandangan bahawa keganasan rumah tangga seperti dalam video tersebut sudah menjadi sebahagian daripada ‘budaya’ masyarakat Muslim yang memberikan layanan buruk serta tidak adil kepada kaum Hawa.

“Kita tahu lelaki Islam tidak melihat wanita ‘setara’ dengan mereka, sebaliknya sebagai hamba sahaja. Kita juga tahu keganasan rumah tangga adalah perkara biasa di dalam budaya mereka,” kata seorang pengguna.

“Dalam dunia Islam, ini perkara biasa. Wanita malang itu sudah terperangkap dengan lelaki gila terbabit. Patutnya ada pihak bantu untuk menghentikan dan menangkap suaminya,” kongsi pengguna lain.

Setakat artikel ini ditulis, rakaman tersebut telah berjaya meraih sebanyak 2.1 juta tontonan dan dihujani dengan komen negatif sebelum rakyat Malaysia segera bertindak untuk menjernihkan keadaan.

Tinjauan mendapati ramai pengguna media sosial tempatan menjelaskan di ruangan komen bahawa video tersebut hanya sekadar lakonan dan sebahagian daripada gimik pemasaran oleh pihak pasar raya.

Mereka juga menggunakan ciri ‘Community Notes’ yang disediakan oleh platform X untuk mencegah penyebaran berita palsu dengan membenarkan pengguna memberi penjelasan tentang situasi sebenar sebalik hantaran tular.

“Video itu dibuat untuk mempromosikan kempen. Bukan kejadian sebenar. Sebaliknya sebahagian daripada gimik pemasaran. Pelakon menerima bayaran dan pihak pasar raya mengesahkannya.” Jelas Comunity Notes dalam hantaran itu.

Baca juga: Menang saman fitnah, pengasas Bawal Exclusive sarung tudung bernilai RM70k!