Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming mengucapkan tahniah di atas kemenangan diraih Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor semalam.
Perkara itu disampaikan oleh Kor Ming menerusi kenyataan di platform Facebook yang turut mengulas mengenai desakan untuk beliau segera meletakkan jawatan selepas kejayaan BN.
Kor Ming dalam penjelasan tersebut meminta pihak yang mendesaknya meletak jawatan untuk membaca kenyataan penuh dikongsikan beliau semasa wawancara eksklusif bersama media Oriental Daily.
Dalam wawancara itu, Kor Ming mengakui hanya menyatakan pendirian sebagai seorang peguamcara dan peguambela Mahkamah Tinggi Malaya berhubung pembebasan Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
“Yang dinyatakan semasa wawancara tersebut merupakan pendirian saya sebagai seorang peguamcara dan peguambela Mahkamah Tinggi Malaya yang konsisten sepanjang masa iaitu kewibawaan sistem kehakiman negara perlu dipertahankan.
“Jika Datuk Seri Najib yang mengakibatkan rakyat Malaysia kini terpaksa menanggung hutang 1MDB sebanyak RM51.4 billion boleh dilepaskan tanpa menjalankan hukuman yang setimpal dengan kesalahan walaupun sudah didapati bersalah, ia bermakna kewibawaan sistem kehakiman negara ini telah digadai dan prinsip kedaulatan undang-undang sepertimana yg termaktub dalam Rukun Negara juga tidak lagi dihormati.
“Sekiranya keadaan sedemikian berlaku, demi mempertahankan integriti sistem kehakiman negara kita yang tercinta, saya sudi letak jawatan sebagai anggota jemaah Menteri. Perkara ini tidak ada kaitan dengan soal peribadi, sebaliknya ia merupakan satu soal prinsip utama,” jelasnya dalam kenyataan itu.
Dalam pada itu, Kor Ming dalam kenyataan sama turut merakamkan penghargaan dan jutaan terima kasih kepada semua petugas, sukarelawan dan pengundi yang telah menyokong Pakatan Harapan (PH).
Beliau memberi jaminan bahawa kepimpinan dan wakil rakyat dari gabungan parti itu tetap komited dan cakna untuk terus bekerja kuat dalam berbakti kepada rakyat serta negara walaupun tidak berjaya membentuk kerajaan negeri di Johor.
“Walaupun kami tidak menang kali ini, besok masih ada. Saya mengucapkan tahniah kepada BN atas kemenangan di PRN Johor semalam. Proses demokrasi perlu dihormati oleh semua pihak.
“Sesungguhnya kemenangan dua per tiga majoriti ini merupakan satu amanah dan tanggungjawab berat yang perlu dipikul oleh BN dengan penuh berintegriti.” Ujarnya lagi dalam kenyataan tersebut.
Terdahulu, Kor Ming dalam temu bual eksklusif bersama Oriental Daily dilaporkan menyatakan pendirian beliau untuk menjadi individu pertama meletakkan jawatan sekiranya Najib dibebaskan tanpa sebarang kesalahan.
Beliau turut menegaskan bahawa DAP juga tidak menolak kemungkinan untuk menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan sekiranya perkara itu berlaku kerana isu berhubung pembebasan Najib adalah ‘garis merah’ parti tersebut.
Baca juga: Kerajaan sasar 10 program tunai STR, Orang Asli tanpa akaun bank tidak tercicir