Warga asing selamba pacak meja jual jagung cheese depan KLCC, netizen tanya mana pergi DBKL?

Oleh KIM SYAZIE

Orang ramai terkejut melihat tindakan berani seorang lelaki warga asing yang selamba berniaga dengan menjual jagung keju berhampiran kawasan sekitar KLCC.

Menerusi video yang tular di Threads, warga asing itu dilihat menjalankan aktiviti perniagaan secara terbuka di lokasi yang menjadi tumpuan pelancong dan orang ramai.

“Selamba berniaga jagung keju depan mata, seolah-olah langsung tak takut tindakan! Ramai tertanya-tanya, dia orang ni memang kebal ke macam mana?

“Ada yang kata suasana sekarang dah macam berada di negara lain. Ke mana-mana pergi, terutama sekitar KL, terlalu ramai warga asing sampai ramai mula persoalkan apa sebenarnya yang sedang berlaku,” kata pengguna Threads, hisham.buyong.

Perkongsian itu mengundang pelbagai reaksi netizen yang mempersoalkan aspek penguatkuasaan pihak berkuasa terhadap aktiviti perniagaan di kawasan berkenaan.

Seorang pengguna media sosial mempersoalkan di mana penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Mana DBKL? Sebab selalu juga nampak video penguat kuasa DBKL rampas jualan orang tempatan especially Melayu,” tulisnya.

Seorang lagi pengguna pula mendakwa aktiviti warga asing di ibu negara semakin ketara berbanding pengalaman yang pernah dilaluinya di negara lain.

“Aku dah berjalan banyak negara yang membangun ada, yang maju pun ada. Tapi hanya di Malaysia, khususnya di Kuala Lumpur, nampak warga asing sangat berleluasa.

“Selamba buka kedai, selamba berniaga, selamba scam pelancong dan selamba lepak sambil mengganggu pelancong. Penguatkuasaan undang-undang kita sangat lemah,” dakwanya.

Baca juga: PM Anwar ke Jepun bukan suka-suka! Ini agenda penting tarik pelaburan balik Malaysia