PAS rasmi ‘cerai’ dengan Bersatu! Hadi umum tamat kerjasama politik

Oleh MALAYSIADATELINE

PAS mengumumkan penamatan kerjasama politik dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan parti Parti Pribumi Bersatu Malaysia selepas Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang diadakan hari ini.

Menerusi kenyataan media ditandatangani Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, parti itu memaklumkan keputusan tersebut dibuat selepas meneliti kedudukan serta hala tuju kerjasama politik PAS-Bersatu berdasarkan laporan, kajian dan penilaian semasa.

“Menghentikan kerjasama politik dengan BERSATU,” menurut salah satu ketetapan yang dinyatakan dalam kenyataan tersebut.

Dalam masa sama, PAS memaklumkan parti itu akan meneroka bentuk persefahaman politik dan kerjasama pilihan raya (electoral pact) demi penyatuan ummah bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri dan Pilihan Raya Umum ke-16.

Kenyataan itu turut menjelaskan PAS memperakukan keputusan Mesyuarat Majlis Syura Ulama pada 2 Jun lalu berkaitan pertimbangan dasar, hukum dan maslahah kerjasama politik parti berkenaan.

Selain itu, PAS juga menyatakan kesediaan menerima tokoh akademik, profesional, pemimpin politik dan aktivis masyarakat untuk menyertai parti tersebut.

Baca juga: PM Anwar zahir simpati tragedi gempa bumi di Filipina, Malaysia sedia hulur bantuan