Betapa gembiranya hati seorang suami apabila sang isteri akhirnya disahkan hamil setelah 10 tahun menanti kehadiran insan bernama anak.
Segala suka dan duka yang dilewati selama ini berbaloi, pasangan tersebut tidak menyangka doa mereka bakal dikabulkan oleh Tuhan.
Ibadah akikah juga segera dilakukan sebagai tanda syukur ke hadrat Ilahi setelah selamat melahirkan seorang bayi perempuan yang sihat.
Namun siapa sangka, kebahagian yang dikecapi oleh pasangan ini tidak kekal lama setelah sekali lagi diberikan ujian dari yang maha Esa.
Genap tiga bulan melahirkan anak, sang isteri yang dikenali sebagai Ayu itu tiba-tiba meninggal dunia dipercayai akibat masalah jantung.
Mencuba untuk menerima kenyataan, sang suami mengakui lebih rela hidup menua berdua bersama isteri jika berpeluang untuk membuat pilihan.
Namun apakan daya, oleh kerana Tuhan lebih menyayangi Ayu, sang suami harus kuat demi membesarkan anak yang bernama Ayra itu seorang diri.
Tular di media sosial, kejadian tersebut dikongsi oleh sang suami menerusi satu hantaran di akaun TikTok milik arwah isteri, @missdenok.
“Tepat 3 bulan setelah melahirkan, Allah SWT lebih mencintai isteriku. Aku baru menyedari kenapa kami diberikan ujian lama memiliki keturunan.
“Bersyukur, sabar dan menjalani aturan Allah SWT. Tuhan akan memberikan yang terbaik buat kita, Al-Fatihah isteriku,” tulis lelaki itu di kapsyen.
Berdasarkan batu nisan yang turut dipaparkan di dalam video, wanita warganegara Indonesia itu difahamkan telah menghembuskan nafas terakhirnya di Malaysia.
Tinjauan di ruangan komen mendapati rata-rata pengguna TikTok terharu dan mendoakan agar lelaki itu diberikan kekuatan untuk membesarkan anak.
“Semoga tabah dalam membesarkan anak tercinta. Mudah-mudahan Allah jodohkan dengan orang yang dapat menyayangi si kecil,” doa seorang penonton.
“Isteri meninggalkan sosok yang sangat mirip dengan dirinya untuk menemanimu seumur hidup. Terus semangat.” Kongsi pengguna lain.
Baca juga: Perompak hanya guna ‘hand sanitizer’ rompak kedai emas, kerugian cecah RM221,939