Perompak hanya guna ‘hand sanitizer’ rompak kedai emas, kerugian cecah RM221,939

Oleh MAISARAH AISYA

Seorang perompak di sebuah kedai emas di Bangkok, Thailand mengugut untuk membakar tempat tersebut dengan menumpahkan cecair pembasmi kuman (hand sanitizer).

Umum tahu cecair pembasmi kuman berasaskan alkohol tidak boleh disimpan dalam keadaan suhu tinggi seperti di kereta kerana berpotensi untuk terbakar.

Menurut Thaiger, Balai Polis Saimai menerima laporan rompakan di kedai emas Aurora dekat Bangkok sekitar pukul 6.50 petang (waktu tempatan) kelmarin.

Seorang pekerja memaklumkan ciri-ciri perompak lelaki yang dikatakan berbadan tegap, memakai pakaian serba hitam bersama topi besbol.

Terlihat jelas perompak melompat di atas ruang penyimpanan barangan kemas.

Perompak yang pada mula menyamar sebagai pelanggan mencetuskan suasana panik selepas menumpahkan cecair pembasmi kuman dan mengugut untuk membakar premis tersebut.

Suspek kemudian dikatakan memanjat kaunter sebelum merampas sejumlah emas dan wang tunai sebelum melarikan diri.

Sebanyak 48 rantai emas pelbagai jenis dilarikan suspek di samping wang tunai dengan kerugian mencecah 1.7 juta baht (RM221,939).

Polis ketika ini sedang menjalankan siasatan di lokasi kejadian termasuk mengumpul bukti cap jari bagi mengesan suspek.

Penjualan cecair pembasmi kuman ini meningkat ketika negara dilanda wabak Covid-19 dan sehingga kini masih ada yang menggunakannya sebagai langkah berjaga-jaga.

Baca juga: Depan isteri bukan main baik, suami kantoi langgan pelacur setiap kali bertugas luar kawasan