14 tahun kahwin suami cuma goyang kaki, isteri bekerja ‘fed up’ kena uruskan rumah seorang diri

Oleh KIM SYAZIE

Seorang isteri berkongsi keluhan rumah tangga selepas 14 tahun berkahwin dan dikurniakan empat cahaya mata.

Menerusi luahan di platform Threads, dia meluahkan rasa letih menguruskan rumah tangga hampir sepenuhnya tanpa bantuan suami.

“Saya seorang isteri yang bekerja. Dah berkawin selama 14 tahun dan dikurniakan 4 cahaya mata. Masalah saya, hari-hari yang saya lalui sangat penat…,” katanta.

Wanita itu menjelaskan rutin hariannya bermula seawal pagi dan berterusan hingga lewat malam, termasuk memasak, mengemas, mengurus pakaian dan pelbagai kerja rumah lain, semuanya perlu dilakukan selepas pulang kerja pada jam 6 petang.

Namun, dia kecewa apabila suaminya tidak membantu, sebaliknya hanya memberi alasan penat dan memilih untuk berehat sambil bermain telefon.

“Balik kerja pukul 6, saya masak, kemas dapur, jemur baju, lipat baju, gosok baju, kadang malam nak tidur tu barulah masa saya rehat.

“Suami hanya relaks main telefon. Bila kita minta tolong dia jawab dia dah penat kerja siang hari. Malam adalah masa untuk rehat,” kongsinya lagi.

Lebih memilukan, wanita tersebut turut memikul hampir semua tanggungjawab kewangan rumah tangga termasuk keperluan dapur, kelengkapan anak-anak ke sekolah dan persiapan hari raya.

Kesal dengan keadaan rumah tangga yang tidak seimbang, wanita itu mengakui semakin letih dan merasakan suaminya terlalu selesa dengan keadaan sedia ada.

“Sebelum ini saya tak kisah semua tu. Tapi sekarang saya rasa macam dia terlalu selesa dan saya rasa terbeban bila tak ada yang membantu saya dalam urusan harian. Saya penat,” luahnya.

Baca juga: Polis serbu perjumpaan gay dalam banglo di Kelantan, rampas ratusan kondom dan ubat HIV