Baru-baru ini tular satu rakaman memaparkan beberapa orang warga asing cuba menaiki sebuah kereta beramai-ramai selepas menempahnya menerusi perkhidmatan e-hailing.
Tindakan mereka bagaimanapun tidak dibenarkan oleh pemandu e-hailing memandangkan kenderaan miliknya itu kecil dan hanya boleh memuatkan empat penumpang sahaja.
Pemandu kemudian memberikan cadangan agar warga asing berkenaan menempah sebuah lagi kereta sekiranya mereka mahu pergi ke destinasi dengan menggunakan e-hailing.
Namun salah seorang daripada mereka tetap bertegas tidak mahu menempah sebuah lagi kenderaan sebaliknya ingin keenam-enam mereka menaiki kereta yang sama walaupun terpaksa berhimpit.
Sesi perbincangan tersebut bertukar menjadi lucu apabila pemandu e-hailing berkenaan secara berseloroh memberi kebenaran menaiki kereta itu asalkan dua orang daripada mereka duduk di bahagian but.
Namun situasi menjadi semakin menggelikan hati ketika mereka malah kelihatan seperti benar-benar serius dalam membincangkan cadangan yang diberikan pemandu mengenai tempat duduk itu.
Perbincangan bersama warga asing berkenaan sempat dirakamkan oleh pemandu sebelum dimuat naik di akaun TikTok miliknya menerusi hantaran video berdurasi 44 saat.
Setakat artikel ini ditulis, rakaman dikongsikan pemandu terbabit sudah berjaya meraih mencecah 1 juta tontonan dan juga 24,300 tanda suka daripada pengguna platform TikTok.
Tinjauan mendapati rata-rata pengguna TikTok mengakui merasa terhibur menonton rakaman tersebut dan turut meninggalkan pelbagai jenis komen yang mencuit hati pembaca.
Ramai juga pengguna bagaimanapun melihat rakaman tersebut dengan perspektif berbeza di mana warga asing itu mungkin tidak mahir menggunakan aplikasi untuk menempah e-hailing yang memiliki enam tempat duduk.
“Duduk dua orang dalam ‘bonnet’. Dia siap berbincang dengan kawan pula itu. Agak-agaknya ada yang nak ke (duduk di bahagian but kereta),” kata seorang pengguna yang terhibur dengan rakaman itu.
“Mungkin mereka tidak mahir menggunakan aplikasi e-hailing dan tidak tahu cara menempah kenderaan enam tempat duduk. Tanpa merakam video, pemandu boleh sahaja beri tunjuk ajar kepada mereka.” Kongsi pengguna lain.
Baca juga: Tak kisah digelar penyanyi TikTok, Ramlah Ram sedar tak semua peminat mampu beli tiket konsert