Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terus meraih sokongan tertinggi dari majoriti pengundi Malaysia dengan merekodkan penarafan positif sebanyak 52 peratus berbanding pemimpin politik lain.
Menurut tinjauan terbaharu Merdeka Center dilakukan antara 12 Mac hingga 9 April tahun ini, sekitar 42 peratus pengundi percaya bahawa Malaysia berada di landasan yang betul walaupun berhadapan cabaran ketidaktentuan global.
Berdasarkan laporan dikeluarkan pada Khamis, Merdeka Center memaklumkan bahawa peratusan tersebut tidak berubah jika dibandingkan dengan angka yang sebelum ini direkodkan pada Disember 2025 dan Februari 2026.
“Merentasi kumpulan etnik, 39 peratus responden Melayu berkata negara sedang bergerak ke arah yang betul, berbanding 50 peratus dalam kalangan responden Cina dan 33 peratus dalam kumpulan responden India.
“Mengikut kumpulan umur, responden yang berusia antara 21 dan 30 tahun pula mencatatkan sentimen positif tertinggi pada 57 peratus. Manakala mereka yang berumur 51 hingga 60 tahun adalah yang paling tidak optimistik pada hanya 32 peratus,” kata kenyataan itu.
Penilaian daripada sudut prestasi Kerajaan Persekutuan pula mendapati sebanyak 50 peratus responden mengatakan kepuasan manakala 48 peratus lagi mengakui bahawa mereka tidak berpuas hati.
Mengikut kumpulan etnik, responden Bumiputera Islam dan Bukan Islam dari Sabah dan Sarawak telah mencatatkan tahap kepuasan tertinggi pada 68 peratus, diikuti Cina (53 peratus), India (46 peratus) dan Melayu (44 peratus).
“Merujuk kumpulan umur, kepuasan tertinggi adalah dalam kalangan responden muda berumur 21 hingga 30 tahun, dengan 64 peratus menyatakan persetujuan terhadap Kerajaan Persekutuan,” menurut laporan tinjauan tersebut.
Tinjauan itu juga mendapati sokongan awam terhadap reformasi institusi kekal utuh dengan dukungan besar diberikan kepada cadangan untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada maksimum dua penggal atau 10 tahun.
Sokongan ini juga diperoleh daripada cadangan pembaharuan yang melibatkan pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, serta memperkenalkan pilihan raya secara langsung bagi Datuk Bandar Kuala Lumpur.
“Memandangkan pentadbiran kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) masuk ke tahun keempat, perhatian semakin beralih kepada penyelesaian agenda reformasi politiknya sebelum pilihan raya umum akan datang.
“Tinjauan mendapati 73 peratus responden menyokong untuk mengehadkan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri, manakala sokongan mengasingkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya adalah lebih tinggi iaitu 84 peratus.
“Di samping itu, 58 peratus responden menyokong cadangan untuk mengadakan pilihan raya langsung untuk Datuk Bandar Kuala Lumpur, manakala hanya 19 peratus pengundi menentangnya.” Kongsi laporan itu lagi.
Sekadar info, sokongan terhadap reformasi politik ini hanya menunjukkan sedikit perbezaan antara responden Melayu dan bukan Melayu sekali gus mencerminkan dukungan merentas etnik yang meluas terhadap cadangan tersebut.
Baca juga: Kisah pengasas WhatsApp yang dahulunya bergelut untuk sesuap nasi, kini jadi bilionair terkenal