24 tahun sudah berlalu, PA Along Spoon dedah masih trauma

Oleh MAISARAH AISYA

Walaupun sudah 24 tahun berlalu, kes pembunuhan penyanyi kumpulan Spoon masih berbekas di hati rakan dan keluarga terdekat.

Apatah lagi buat pengurus kumpulan tersebut yang sering berhubung untuk jadual kerjaya mereka.

Penyanyi yang popular dengan lagu Rindu Serindu Rindunya dikatakan hilang selama 10 hari sebelum mayatnya dijumpai dalam karung guni.

Kehilangan Along atau nama sebenarnya Sabi’ul Malik Shafie terjawab apabila pihak polis menjumpai mayatnya dalam karung guni di lereng bukit di Kilometer 28, Jalan Kuala Klawang – Genting Peras, Jelebu, Negeri Sembilan.

Turut terkesan dalam kes tersebut adalah pengurus peribadi yang juga isteri kepada pembunuh penyanyi yang dihukum gantung.

Salina adalah Pegawai Perhubungan Awam (PRO) Syarikat Life Record yang turut mengurus kumpulan Spoon.

Ini adalah individu yang menjadi ‘buruan’ wartawan berikutan peristiwa pembunuhan Along rancak diperkatakan media pada waktu itu.

Kini, Salina terus bahagia bersama anak-anak dan cucu dan turut aktif mengusahakan perusahaan menyewa kanopi dan khemah untuk majlis kahwin dan majlis tertentu.

Menurut BeautifulNara, Salina memaklumkan kisah tersebut terlalu berat untuk ditanggung apatah lagi mempunyai anak-anak kecil untuk dijaga.

“Saya pengsan tiba-tiba apabila berita itu keluar di TV kerana pada waktu itu saya rasa seolah-olah langit jatuh menghempap kepala saya!

“Terlalu berat sehinggakan tidak tertanggung. Selepas sedar, saya menangis teringat anak-anak,” katanya.

Selepas peristiwa itu meledak di media, Salina kemudiannya berhenti kerja sebagai PA dan bekerja di Singapura namun kembali semula ke Malaysia dan menjual nasi lemak.

Kesusahan demi kesukaran Salina tanggung di saat membesarkan anak-anak tanpa kehadiran suami dan figura bapa kepada cahaya matanya.

Kini Salina mempunyai enam orang cucu dan sudah pun bergelar nenek.

Mengimbas kembali kehidupannya setelah ‘peristiwa hitam’ itu, Salina bersyukur kerana mempunyai dua orang sahabat yang sentiasa bersama ketika susah dan senang.

“Sejak dahulu lagi anak-anak adalah kekuatan saya. Kini dengan kehadiran enam orang cucu, hidup saya amat bermakna dan lengkap.

“Saya akan sentiasa bersama mereka selagi waktu masih ada.

“Sebenarnya walaupun peristiwa hitam itu telah 20 tahun berlalu, namun apabila berjalan di khalayak ramai, tanpa sedar saya akan tundukkan muka,” tambahnya.

Pastinya sukar apabila kehilangan dua orang terdekat dalam satu masa namun terpaksa kuatkan diri kerana masih ramai yang bergantung pada diri.

Baca juga: Belum dapat zuriat lepas 20 tahun kahwin, luahan Mark Adam buat ramai menangis