3 hari berturut-turut mimpikan Suhaimi Saad, Ina Naim akui masih rindu arwah suami

Oleh WAN SITI AMINAH

Penyanyi, Ina Naim tidak dapat menahan sebaknya ketika ketika meluahkan rasa kerinduan yang begitu mendalam terhadap arwah suami iaitu penyanyi nasyid, Allahyarham Suhaimi Saad.

Menerusi satu sesi siaran langsung yang diadakan baru-baru ini di akaun media sosial miliknya, Ina mendedahkan bahawa dirinya telah didatangi oleh arwah Suhaimi ketika di dalam mimpi.

Kejadian dikatakan berlaku ketika pemilik nama sebenar Nordiana Mohd Naim itu mengalami demam selama tiga hari berturut-turut sebelum ia diceritakan kepada suami baharunya, Khairul Rizal.

“Selama Kak Ina demam tiga hari, tiga hari berturut-turut jugalah saya mimpikan arwah (Suhaimi Saad). Tetapi saya sudah ceritakan perkara itu kepada Abang Khairul (suami) juga.

“Ketika di dalam mimpi itu, arwah tidaklah bercakap. Saya sebenarnya rindukan arwah, tak boleh tipu,” katanya di dalam nada sebak ketika menahan tangisnya di dalam perkongsian tersebut.

Sesi siaran langsung yang diadakan di aplikasi TikTok itu juga sempat dirakamkan oleh salah seorang penonton sebelum dimuat naik sebagai video berdurasi 46 saat di platform sama.

@nizarwatie

Bagus suami Ina sekarang. sangat memahami. Biasalah kadang terbit rasa rindu pada Arwah suami. Moga Ina baik-baik saja. #ina #inanaim #inasuhaimi #suhaimisaad

♬ original sound – Ladywatie | Affiliate – Ladywatie | Affiliate

Dalam perkongsian yang sama, Ina memberitahu respon suaminya selepas mendengar perkara tersebut adalah meninggalkan pesanan buat dirinya supaya tidak terlalu larut dalam kesedihan.

“Cuma Khairul berpesan agar jangan lupa untuk kembali semula ke sini (dunia) jika saya bermimpikan arwah,” ujar penyanyi berusia 41 tahun berkenaan dalam perkongsian tersebut.

Sekadar info, Ina berkahwin dengan arwah Suhaimi pada 12 Oktober 2007 lalu namun bekas anggota kumpulan nasyid Inteam itu meninggal dunia pada 15 November 2023 akibat jangkitan kuman pada paru-paru.

Hasil perkongsian hidup bersama, pasangan berkenaan telah dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Ehmad HadieElfardie, Sallman Elkhoyri, Phyrosh Elfadwah dan Nur Layla Elghufrony.

Selepas hampir setahun bergelar ibu tunggal, Ina kembali membuka pintu hatinya untuk bergelar isteri kepada seorang jurutera berusia 42 tahun dikenali sebagai Mohd Khairul Rizal Shukor pada 8 November 2024.

Mohd Khairul Rizal yang berasal dari Gemas, Negeri Sembilan itu merupakan seorang duda dan mempunyai seorang anak perempuan berusia 12 tahun dan lelaki berusia 10 tahun.

Baca juga: Ramai tak tahu Malaysia ada jenama kereta kayangan setanding Rolls Royce