Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, hari ini meninjau Jualan Agro MADANI yang berlangsung di perkarangan Pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pagoh, Bukit Pasir, Muar.
Beliau berkata, Kerajaan MADANI kekal komited membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat menerusi penganjuran Jualan Agro MADANI di seluruh negara.
Katanya, menerusi inisiatif itu, pelbagai barangan keperluan ditawarkan pada harga sehingga 30 peratus lebih murah berbanding harga pasaran.
“Kerajaan MADANI sentiasa cakna dengan kos sara hidup rakyat.
“Sebab itu Jualan Agro MADANI diteruskan di seluruh negara dengan menawarkan penjimatan sehingga 30 peratus lebih murah berbanding harga pasaran,” katanya.
Menurut beliau, inisiatif berkenaan bukan sahaja membolehkan rakyat berjimat dalam perbelanjaan harian.
Malah ia memberi peluang kepada petani, peladang, penternak, nelayan dan usahawan agro memasarkan hasil mereka secara terus kepada pengguna tanpa melibatkan orang tengah.
“Melalui inisiatif ini, rakyat dapat berjimat dalam perbelanjaan harian, manakala petani, peladang, penternak, nelayan dan usahawan agro pula dapat memasarkan hasil mereka secara terus kepada pengguna tanpa orang tengah,” katanya.
Jelas Mohamad, langkah itu turut membantu meningkatkan pendapatan pengeluar tempatan selain memastikan pengguna memperoleh bekalan makanan segar pada harga yang lebih berpatutan.
“Inilah komitmen Kerajaan MADANI untuk memastikan kebajikan rakyat terus terbela, pengeluar tempatan terus diperkasa, dan bekalan makanan negara kekal terjamin,” katanya.
Beliau turut menggalakkan orang ramai memanfaatkan penganjuran Jualan Agro MADANI yang diadakan di pelbagai lokasi di seluruh negara.
Menurutnya, inisiatif itu membolehkan pengguna menikmati penjimatan kos pembelian barangan keperluan harian di samping menyokong hasil keluaran petani, peladang, penternak, nelayan dan usahawan agro tempatan.
Baca juga: Patutlah keputusan rayuan Syed Saddiq ditangguh lagi, rupanya ini puncanya