Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam merasmikan Inisiatif BAKAT MADANI yang bertujuan memperkukuh pembangunan bakat negara serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti kepada rakyat.
Majlis perasmian berlangsung di d’Tempat Country Club dan turut dihadiri Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, serta Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Johan Mahmood Merican.
Menurut Kementerian Kewangan Malaysia, BAKAT MADANI merupakan satu inisiatif nasional yang menghimpunkan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC), Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) serta PETRONAS bagi memperkukuh pembangunan bakat negara.
Inisiatif itu memberi tumpuan kepada tiga bidang utama, iaitu meningkatkan kebolehpasaran dan penempatan kerjaya dalam ekosistem GLIC, GLC dan PETRONAS.
Ia juga memperluaskan peluang pekerjaan merentas sektor strategik negara serta memperkasa institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) melalui kerjasama rapat dengan industri.
Usaha itu dijangka dapat melahirkan tenaga kerja yang memiliki kemahiran selaras dengan keperluan ekonomi masa hadapan.
Lebih 700 jemputan menghadiri majlis berkenaan, termasuk barisan menteri, ketua-ketua setiausaha kementerian, kepimpinan GLIC, GLC dan PETRONAS serta penerima manfaat program pembangunan bakat dari seluruh negara.
Dalam tempoh setahun bermula pertengahan 2026, BAKAT MADANI menyasarkan seramai 25,000 individu mendapat manfaat menerusi peluang pembangunan kemahiran, pekerjaan berkualiti dan peningkatan mobiliti sosial.
Baca juga: Rupanya ini peranan MD2030, pelan tindakan strategik dilancar PM Anwar